Go Eat: ‘Air tangan’ anak Malaysia, bertaraf dunia
Oleh MUHAMAD AMIRUL AFIQ MASTOR, ESWADI ISHAK dan METRA SYAHRIL MOHAMED
APLIKASI penghantaran makanan secara dalam talian di negara ini dilihat semakin berkembang, bagai ‘cendawan tumbuh selepas hujan’.
Sebut sahaja beberapa nama, kesemuanya bersaing dalam platform masing-masing dan semakin mendapat perhatian ramai.
Bagaimanapun, jika diteliti ‘siapa di sebalik’ aplikasi tersebut yang beroperasi di ‘pentas’ tempatan, kesemuanya boleh dikatakan orang luar.
Untuk itu, Go Eat muncul sebagai platform baharu dalam menawarkan perkhidmatan sama dengan 100 peratus dibangunkan anak Malaysia.
“Di Indonesia serta Singapura, mereka sudah ada platform start-up (syarikat pemula niaga) masing-masing dan semakin popular di pasaran negara ini.
“Jadi saya terfikir, tidak adakah anak Malaysia yang boleh melakukan perkara sama? Tiada bakatkah mereka hendak membuatnya? Ada start-up guna nama Malaysia tetapi sebenarnya dibangunkan orang luar.
“Anak-anak tempatan ini bergantung harap pada orang luar. Timbul kesedaran dan saya kata mari kita buat. Selepas itu kita bina Go Eat dan ambil developer tempatan. Anak Malaysia pun boleh, ada bakat tetapi (bakat itu) tidak dikorek.”
Demikian ditegaskan oleh Datuk Khairil Muzamil Abdul Rahman, pengasas aplikasi Go Eat ketika ditemu bual secara eksklusif tim Ceritera di pejabatnya di Cyberjaya.
Menurutnya, idea untuk menubuhkan Go Eat muncul ketika lawatannya ke Melbourne, Australia baru-baru ini.
“Di sana, saya lihat aplikasi penghantaran makanan ini cukup banyak dan mereka sangat berdisiplin. Bermula dari situ, saya mula study macam mana food delivery berfungsi.
“Kita mula membangunkan Go Eat. Kita ambil developer, tim pengurusan dan kewangan, semua saya susun struktur syarikat ini, saya mahukan 100 peratus anak Malaysia,” jelasnya.
GO EAT GO INTERNATIONAL
Bakal dilancarkan pada 18 Januari ini, Go Eat sudah mempunyai perancangan untuk dikembangkan ke luar.
Malah jelas Khairil Muzamil, enam bulan selepas pelancaran, Go Eat dijangka bertapak di Indonesia diikuti Thailand, Filipina, Australia, Brunei dan Singapura.
“Hala tuju kita hendak pergi ke peringkat antarabangsa. Kita hendak jadi ikon yang boleh dibanggakan negara. InsyaAllah kita akan pergi jauh dengan sokongan rakyat Malaysia.
“Saya harap semua rakyat Malaysia memberikan sokongan kerana ini produk anak tempatan dan kita menyediakan 8,000 ke 10,000 peluang pekerjaan.
“Melalui pangkalan data kita (setakat ini), yang mendaftar sebagai rider sudah melebihi 4,000 orang manakala lebih 2,000 pula mendaftar sebagai vendor,” katanya.
PILIHAN MAKCIK-MAKCIK KEMBANG EKONOMI
Dalam pada itu, kepada soalan apa yang membezakan Go Eat dan aplikasi lain, Khairil Muzamil berkata, Go Eat memiliki platform home cook.
Malah tegas beliau, boleh dikatakan Go Eat merupakan aplikasi penghantaran makanan pertama di dunia yang mewujudkan platform home cook.
“Contohnya, ibu tunggal, makcik-makcik tua yang tak larat nak keluar rumah berniaga tetapi mahu menjana pendapatan keluarga. Melalui home cook, mereka tak perlu nak buka restoran atau gerai.
“Hanya masak makanan atau buat kuih, kek di rumah, mereka boleh pasarkan produk mereka dalam Go Eat dan ada pula rider pergi ambil apa yang mereka jual, hantar kepada pelanggan. Ini memudahkan mereka, dari rumah sahaja sudah boleh berniaga,” tambahnya.
Apa yang menarik, melalui platform home cook, Go Eat membina peluang menjana pendapatan dari rumah sebagai sebahagian daripada program keusahawanan.
“Niaga dahulu dan bila sudah ada income, baru kita galakkan mereka mendaftar dengan SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia). Jadi kita sudah melahirkan usahawan. Itu arah yang saya nampak. Saya nak mereka yang tidak ada pekerjaan, melalui Go Eat sudah boleh jana pendapatan,” katanya.
KEBAJIKAN RIDER
Khairil Muzamil berkata, melalui Go Eat juga, pihaknya tidak terlepas daripada memandang aspek kebajikan rider.
Perkara utama yang dilakukan beliau adalah aspek insurans.
“Kita ambil insurans berkelompok untuk mereka. Kita juga menyediakan mereka helmet, pakaian keselamatan, baju hujan, beg dan kasut.
“Go Eat memang memikirkan keuntungan, tetapi dalam masa yang sama, kita pulangkan semula kepada kebajikan mereka (rider),” jelasnya.
PENGLIBATAN FIKRY?
Kehadiran pelakon dan pelawak, Fikry Ibrahim yang selalu mempromosikan Go Eat di dalam laman media sosial menjadi tanda tanya, sama ada artis tersebut dilantik sebagai duta produk atau sebaliknya.
Namun jelas Khairil Muzamil, Fikry adalah pengasas bersama Go Eat.
“Idea food delivery saya yang bina manakala Fikry pula datang dengan idea home cook. Dia kata apa salahnya kita buat platform home cook,” katanya.
SASARAN, HARAPAN
Selain meletakkan sasaran tiga hingga empat juta mereka yang melayari Go Eat dalam sehari, Khairil Muzamil memberitahu, pihaknya yakin Go Eat bakal menjadi pilihan utama sektor penghantaran makanan secara dalam talian.
“Untuk vendor (restoran) kita letak sasaran 80,000 pesanan sehari manakala home cook pula, 40,000 pesanan (sehari).
“Kita harap dapat sokongan semua. Saya buat ini (Go Eat) bukan untuk saya sahaja, saya fikir untuk orang di luar sana. Dan kita punya level, antarabangsa,” tambahnya.
Go Eat juga bakal menjalin kerjasama pintar bersama syarikat gergasi telekomunikasi, Digi, bagi ‘memandikan’ Malaysia dengan warna kuning, warna rasmi bagi kedua-dua syarikat berkenaan.
“Kita akan drive bersama kerana semakin banyak vendor mahu menyertai Go Eat,” jelas beliau.