
SHAH ALAM – Draf Rancangan Tempatan Majlis Bandaraya Shah Alam (DRT MBSA) 2035 (Penggantian) merupakan satu pelan jangka panjang yang mengagumkan bagi meningkatkan pembangunan dan kelestarian Ibu Negeri Selangor itu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyambut baik usaha Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kerana menghasilkan draf rancangan pembangunan yang bakal memacu ibu negeri Selangor dalam tempoh 15 tahun ke hadapan.
Beliau berkata, DRT MBSA 2035 (Penggantian) dapat menentukan keperluan kemudahan awam serta utiliti dan infrastruktur yang perlu disediakan bagi menampung pembangunan semasa dan masa hadapan.

Sebanyak tujuh buah kawasan dikenal pasti sebagai lokasi pertumbuhan termasuk i-City ultrapolis, dan kawasan yang terlibat lain adalah Pusat Bandar Shah Alam, Seksyen 13, Setia Alam, Kwasa Damansara, Elmina dan Alam Impian.
Di antara tujuh lokasi pertumbuhan, i-City ultrapolis telahpun berkembang menjadi Selangor Golden Triangle yang memenuhi perancangan MBSA.
Dalam pada itu, Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 pula menempatkan bandar pintar i-City sebagai salah satu bandar dalam perancangan sebagai kawasan keutamaan pembangunan perindustrian Negeri Selangor menjelang 2035.
Bahkan, pembangunan sedia ada dan sedang dibangunkan juga selari dengan kenyataan Menteri Besar yang mahukan setiap komponen yang dibangunkan dijayakan secara sistematik.

Sementara itu, Datuk Bandar MBSA, Datuk Haris Kasim dalam Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Bagi DRT MBSA 2035 (Penggantian) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia Alam, berkata, lokasi-lokasi yang dikenal pasti itu akan diberi penekanan mengikut fungsi dan karekter pusat pertumbuhan.
“Setiap pusat pertumbuhan ini mempunyai karekter yang menentukan imej kepada kawasan tersebut.
Sementara itu, di bawah DRT MBSA 2035, pihak berkuasa bandaraya telah mencadangkan peluasan kawasan meliputi seluas 1,700 tanah di sekeliling i-City ultrapolis bagi pembangunan dan penggunaan kawasan tanah dari tahun 2021 hingga 2035.
Kawasan ini dilaporkan bakal melibatkan penubuhan zon industri ringgan di koridor barat, sebuah zone komersial, zone teknologi dan juga zon Pendidikan di koridor timur yang kini menempatkan dua buah institusi pengajian tinggi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Selangor.
Ini bermakna secara tidak langsung kawasan perindustrian di gazetkan untuk tujuan komersial bagi pembangunan berkaitan ICT.
Pelan berkenaan bakal meraih faedah daripada i-City yang merupakan pembangunan bandar ultra polis berteraskan teknologi dan juga menjadi lembah silikon di Shah Alam menyamai kawasan yang terdapat di Amerika Syarikat bagi memberikan manfaat yang besar kepada Selangor sekiranya dirancang dan dilaksanakan dengan betul.