Uncategorized

INDUSTRI PERTAHANAN : MENYERLAHKAN POTENSI GLOBAL SYARIKAT TEMPATAN

KUALA LUMPUR – Industri pertahanan Malaysia berpotensi berkembang lebih luas  di peringkat sejagat  sekiranya mendapat sokongan daripada kerajaan kerana langkah berkenaan turut mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi asing.

Berdasarkan kepada kecanggihan teknologi dan juga pelaburan yang besar, keterlibatan dan sokongan tinggi kerajaan diperlukan untuk membolehkan syarikat-syarikat tempatan yang berpotensi menguasai pasaran luar,  demikian menurut kajian sebuah firma perunding  penyelidikan tempatan, MQ Consultant.

Katanya, daripada perspektif ekonomi, membangunkan pemain tempatan mungkin akan melibatkan kos yang tinggi tetapi mereka bakal membantu negara untuk mengurangkan kos import produk pertahanan.

“Dengan memiliki pengeluar-pengeluar tempatan, kebergantungan negara terhadap bekalan dari luar negara akan dapat dikurangkan dengan ketara.

Bahkan, dalam jangka panjang, Malaysia akan berupaya memiliki kapasiti sebagai pengeluar pertahanan untuk pasaran domestik dan antarabangsa.”

Industri pertahanan tempatan kini bulan lagi sekadar terlibat dalam kerja-kerja penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) tetapi juga tugasan lebih canggih yang melibatkan reka bentuk serta pengeluaran dalam pelbagai sektor termasuklah aeroangkasa, automatif, maritim dan ICT.

Bagaimanapun, MQ Consultant berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, jurang dalam teknologi pertahanan serta ketenteraan Malaysia dan negara-negara membangun lain telah menjadi semakin lebar.”

Pakar-pakar industri berpendapat, jurang ini dipercayai berpunca daripada kekurangan sumber manusia berkelayakan dalam ekonomi negara yang mampu untuk menyerap teknologi serta kawalan permintaan eksport negara-negara pengeluar senjata.

Keadaan ini menjadi lebih teruk apabila pengeluar peralatan asli (OEM) enggan memindahkan pengetahuan dan kepandaian teknologi kritikal kerana bimbang kehilangan penguasaan pasaran yang dimiliki mereka.

Keupayaan untuk tidak bergantung kepada para pembekal industri pertahanan luar  negara direncatkan lagi dengan penyusutan ketara dalam peruntukan belanjawan kerajaan untuk pembangunan para pengiat tempatan industri tersebut.

Bermula dengan penuh kesederhanaan, industri pertahanan Malaysia sebenarnya menunjukkan kejayaan yang luar biasa dalam sektor pengeluaran, penyelenggaraan dan pembekalan aset pertahanan kepada negara.

Pelbagai projek bernilai jutaan ringgit telah dilaksanakan sehingga kini sejak industri pertahanan negara bermula pada 1976 dengan penubuhan AIROD bagi menyokong kerja-kerja penyelenggaraan Tentera Udara Diraja Malaysia.

GAMBAR HIASAN

Salah satu daripada projek utama dalam industri pertahanan negara ialah projek Kapal tempur persisir atau ‘Littoral Combat Ship’ (LCS) yang bernilai RM8 bilion untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia.

AIROD kini diiktiraf di seluruh dunia sebagai organisasi MRO dan kekal menjadi pusat MRO aviasi terunggul negara.

Sehingga kini Malaysia telah membangunkan lebih 80 buah syarikat industri pertahanan tempatan, bagaimanapun kebanyakan syarikat ini hanya memiliki kepakaran tahap sederhana dalam pemasangan; penyelidikan dan pembangunan juga reka bentuk.

Syarikat-syarikat berkenaan termasuklah Nadi Defence Industries Sdn. Bhd. dan dua subsidiarinya iaitu SMEO dan SMEA; serta Weststar Defense Industries dan yang terbaharu, MILDEF International Technologies menjadi contoh bagaimana syarikat  milik tempatan sepenuhnya yang berusaha mengambil peluang untuk membangunkan  industri pertahanan negara dan bersaing dengan syarikat-syarikat asing.

MILDEF kini memiliki kepakaran dalam bidang kajian dan pembangunan; reka bentuk; aplikasi dan juga penyelenggaraan (R&D) yang merupakan elemen yang amat penting dalam pembangunan industri pertahanan.

Malah MILDEF telah berjaya mereka bentuk dan mengeluarkan Kenderaan Berperisai Bermobiliti Tinggi (HMAV) dan dihasilkan dengan kepakaran Malaysia sepenuhnya. Contoh lain hasil kepakaran tempatan ialah kereta perisai ACV-200 Adnan dan AV8-Gempita yang dibina oleh DRB-HICOM DefenceTechnologies (DefTech). Kejayaan-kejayaan yang ditunjukkan memperkukuhkan lagi terhadap keupayaan Malaysia dan peningkatan negara ke fasa yang berikutnya dalam merevolusikan industri pertahanan tempatan dan menjadi pemain sejagat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *