
KOTA BHARU: Beberapa kementerian dikenal pasti dalam radar pemantauan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu perolehan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pemantauan berkenaan dimulakan di Kementerian Pertahanan (MINDEF), susulan keterbukaan dan sokongan diberikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata, SPRM telah menambah empat lagi pegawai integriti bagi menjalankan eksesais bersama MINDEF bertujuan membantu kementerian berkenaan menangani isu ketirisan dalam perolehan.
“Dalam radar kami memang ada beberapa kementerian yang kita lihat mempunyai masalah dari segi isu perolehan.
“Kita mulakan dengan MINDEF dan pintu telah dibuka oleh Menteri Pertahanan dan saya menyambutnya dengan baik,” katanya pada sidang media selepas Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Timur di sini hari ini.
Azam berkata, isu perolehan melibatkan ketirisan perlu diberi perhatian serius kerana ia berkaitan usaha melindungi serta menyelamatkan wang rakyat, yang merupakan hak semua.
Menurut beliau, perbincangan bersama Menteri Pertahanan semalam turut menyentuh kerjasama SPRM dengan MINDEF berhubung isu ketirisan perolehan melibatkan kaedah tender dan sebut harga, selain akan memperluas kepada Tentera Laut dan Tentera Udara.
“Oleh itu, satu eksesais perlu dibuat merangkumi kajian, semakan dan audit oleh SPRM dan kementerian. Kita perlu duduk bersama untuk melihat prosedur operasi standard (SOP) yang mempunyai kebocoran dan kelemahan,” katanya.
Katanya, Menteri Pertahanan bersetuju supaya pakar berkaitan termasuk daripada Audit Negara dilibatkan dalam eksesais berkenaan, selain penambahan empat pegawai integriti bagi membantu dua pegawai sedia ada di MINDEF.
Langkah itu bertujuan meneliti bagaimana ketirisan berlaku serta mengenal pasti kaedah penjimatan kos bagi memastikan setiap pembelian dilaksanakan secara telus dan berintegriti, katanya.





