Kinabalu, 5 tahun berlalu, salam takziah, al-Fatihah
Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
‘SEMUA yang berlaku, adalah kerana sumpahan Aki Nabalu, penunggu Gunung Kinabalu’.
Itu kepercayaan kalangan malim gunung susulan gempa bumi sekuat 5.9 pada skala Richter yang melanda Ranau, Sabah pada 5 Jun 2015.
Lima tahun sudah berlalu. Kejadian menyayat hati itu meragut 18 nyawa, termasuk empat orang malim gunung. Kesemua mereka terkorban ketika berada di sekitar laluan ke puncak gunung.
“Ini sumpahan kerana tindakan biadab sekumpulan pelancong berbogel di puncak gunung, beberapa hari sebelum gempa berlaku. Mereka telah melanggar kesucian gunung, pantang larang.” jelas seorang malim gunung.
5 Jun 2015
7.15 a.m
Demikian catatan aku di laman Facebook mengenai hari yang tidak bisa kulupakan itu.
Beberapa saat sebelum detik itu tercatat, aku (ketika itu bertugas dengan sebuah syarikat media di Kota Kinabalu) sedang bersiap sedia untuk ke Kiulu dari rumahku di Cyber City, Kota Kinabalu.
Rancangan ke Kiulu telah ditetapkan sehari sebelumnya untuk membuat liputan berita program Datuk Azizah Mohd. Dun (ketika itu sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).
Pelan itu terbatal dengan sendirinya selepas hampir keseluruhan negeri Sabah merasai gegaran ‘amarah si Aki Nabalu’ itu.
Antara 18 yang terkorban, seorangnya bernama Muhammad Loqman Abd. Karim, 22. Muhammad Loqman adalah orang kampung aku di Chinchin, Jasin, Melaka. Nenek arwah, Ustazah Fatimah, pernah mengajarku di Sekolah Kebangsaan Chinchin.
Aku menerima mesej dari salah seorang ahli keluarganya yang bertanyakan mengenai nasib arwah. Di depan mata aku, papan tanda di Kinabalu Park (lokasi pusat pengumpulan maklumat bencana) sudahpun tertulis senarai nama yang terkorban. Nama Muhammad Loqman ada sekali.
Al-Fatihah untuk arwah.
Pelbagai gambar aku terima daripada sumber-sumber pasukan keselamatan mengenai keadaan mayat mereka yang terkorban. Gegaran kuat membuatkan bongkah-bongkah batu di sekitar laluan ke puncak gunung, pecah dan bergolek.
Sepupuku yang aku panggil Abang Edi dan menetap di Kinarut menghubungiku. “Ril (panggilanku), anak pakcik Karim (Muhammad Loqman) ada kat atas puncak gunung,” katanya.
Keadaan dapur di rumahnya juga mengalami keretakan akibat gegaran kuat itu.
Gegaran sekuat 5.9 pada skala Richter itu tidak berakhir pada hari itu sahaja. Malah, gegaran-gegaran kecil masih dilaporkan berterusan sehingga kini.
Terima kasih Assim, Hisyam, Azrul, Mustapa, Yunus dan Kasmil (rakan sepejabat) yang banyak membantu sepanjang liputan bencana tersebut. Begitu juga rakan-rakan media lain termasuk pasukan keselamatan.
Lima tahun berlalu, kini aku sudah pulang ke Kuala Lumpur. Merinduimu Gunung Kinabalu. Tetaplah tegap berdiri di sana menjadi lambang kebanggaan anak Sabah, khususnya, dan Malaysia.
5 Jun 2015
7.15 a.m
Akan aku ingati sepanjang hidupku. Salam takziah, al-Fatihah.