
Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
CUTI sekolah datang lagi, paling seronok sudah pastinya kanak-kanak.
Bukan sahaja cuti sekolah, musim hujan pun hadir ‘menceriakan’ lagi jiwa anak-anak kita (teringat zaman kanak-kanak dahulu, pantang kalau hujan mesti seronok main air).
Kalau yang pulang ke kampung, belakang rumah ada sungai, cuti berkelah ke kawasan air terjun atau pantai, beringatlah wahal ibu, wahai bapa, wahai penjaga.
Sejak kecil lagi sudah masuk dalam kepala otak kita, ‘malang tidak berbau’.
Dan, banyak kali kita dihidangkan dengan berita kanak-kanak mati lemas ketika mandi sungai atau dihanyutkan arus deras ketika hujan lebat dan banjir.
Sekarang ini pun beberapa negeri di Pantai Timur dilanda banjir. ‘Cubitlah’ paha anak, ingatkan mereka tentang keselamatan. Jangan hanya tahu berseronok agar kita selaku orang tua tidak meratapi peristiwa malang yang melanda mereka nanti.
Itu cerita hujan, banjir dan main air.

Cerita lain pula. Baru-baru ini saya makan malam di sebuah restoran yang membuka kerusi meja di laluan kaki lima. Di sebelahnya jalan raya yang tidak begitu sibuk.
Selang beberapa meja, ada pasangan suami isteri makan bersama tiga anaknya yang berusia lingkungan tujuh ke lapan tahun. Selesai makan, anak-anak ini dibiarkan berlari-lari sehingga ke tepi jalan raya.
Suami isteri tersebut, seperti biasa leka bermain dengan telefon pintar mereka.
Peliknya, orang yang di sekelilingnya pula yang ‘terlebih’ ambil berat mengenai keselamatan anak kepada pasangan berkenaan. Walhal empunya diri, langsung tidak mengendahkan perihal anak-anaknya.
Yang ini, bukan sahaja anak-anaknya yang perlu ‘dicubit’, malah ibu bapa terbabit juga kalau boleh kami mahu ‘cubit’ juga.
Ibu bapa, tolonglah peka dengan anak-anak. Biar ‘cubit’ sekarang, agar tidak menangis kemudian.