Peluang Pekerjaan Melalui Portal E-Belia
Portal E-Belia yang diberi nafas baru oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) dengan memasukkan elemen pencarian dan penciptaan pekerjaan baru.
Ia juga meliputi peluang-peluang keusahawan, latihan, kemahiran, dana dan kemudahan Kerajaan yang memudahkan para belia menumpukan pencarian hanya kepada satu portal berbanding terpaksa mencari di lebih kurang 14 kementerian yang berkaitan sebelum ini.
Majlis Belia Malaysia (MBM) menyeru para belia memanfaatkan portal tersebut dengan menyeru semua pihak khususnya para pemimpin belia dan pemimpin masyarakat sama-sama menyebarkan maklumat portal ini (http://ebelia.iyres.gov.my/) bagi membantu belia menyedari kewujudan portal yang membantu mereka menangani isu ekonomi dan pengangguran yang semakin mencabar pasca Covid-19.
Sebelum ini penting bagi membolehkan para belia mendaftarkan diri bagi memudahkan pihak KBS membentuk profil dan data belia Malaysia yang mana penting untuk merancang pembangunan belia yang tepat dan berkesan.
MBM juga sukacita mencadangkan pihak KBS terus berusaha menjadikan portal ini lebih menarik, interaktif, tidak terlalu formal dan sentiasa dikemaskini daripada masa ke semasa bagi menarik minat Generasi Z melayarinya, mendaftarkan diri dan memanfaatkan peluang-peluang yang disediakan.
Ia juga boleh dijadikan ‘Bank Idea Belia’ bagi memudahkan para belia menyalurkan segala idea-idea mereka berkaitan pembangunan ekonomi dan pembangunan belia.