
KUALA LUMPUR: Penjawat awam yang berkhidmat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan hanya menikmati satu hari kelepasan am gantian susulan pertindihan sambutan Hari Wilayah Persekutuan serta Thaipusam yang jatuh pada Ahad, 1 Februari ini, manakala pekerja sektor swasta layak menerima cuti gantian selama dua hari.
Pertindihan dua sambutan berkenaan pada hujung minggu menyaksikan penjawat awam diberikan cuti gantian pada Isnin, 2 Februari, manakala pekerja swasta menikmati cuti sehingga Selasa, 3 Februari, tertakluk kepada peruntukan undang-undang berkaitan.
Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan berasingan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) yang dikeluarkan pada 8 Januari lalu dan Disember 2025, serta masih berkuat kuasa.
Menurut JPA, penetapan tersebut selaras Seksyen 3 Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369) yang memperuntukkan bahawa sekiranya hari kelepasan am jatuh pada hari kelepasan mingguan, maka hari bekerja berikutnya hendaklah dijadikan cuti umum.
“Bagi pegawai perkhidmatan awam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, walaupun Hari Wilayah Persekutuan dan Thaipusam jatuh pada tarikh yang sama, hanya satu hari cuti gantian diberikan iaitu pada 2 Februari 2026.
“Bagi pegawai perkhidmatan awam di Wilayah Persekutuan Labuan pula, cuti gantian Hari Wilayah Persekutuan yang jatuh pada 1 Februari juga ditetapkan pada 2 Februari,” menurut kenyataan itu.
JPA turut menegaskan bahawa ketetapan cuti gantian bagi pekerja sektor swasta yang diumumkan oleh JTKSM tidak terpakai kepada penjawat awam.
Sementara itu, JTKSM memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah mewartakan Thaipusam dan Hari Wilayah Persekutuan sebagai hari kelepasan am pada 1 Februari 2026.
Menurut JTKSM, cuti Hari Wilayah Persekutuan wajib diberikan oleh majikan sektor swasta di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 60D(1)(a)(iii) Akta Kerja 1955 (Akta 265) dan tidak boleh diganti.
“Memandangkan cuti tersebut jatuh pada hari Ahad, majikan yang menetapkan Ahad sebagai hari rehat mingguan hendaklah memberikan cuti gantian pada hari bekerja berikutnya.
“Selain itu, majikan yang memilih Thaipusam sebagai baki enam hari kelepasan am pula perlu memberi cuti gantian pada hari bekerja berikutnya memandangkan berlaku pertindihan kedua-dua cuti umum ini,” katanya.
JTKSM turut memaklumkan pekerja yang diarahkan bekerja pada hari kelepasan am layak menerima bayaran gaji mengikut kadar yang ditetapkan di bawah Seksyen 60D(3) Akta Kerja 1955.






