Nasional

PLUS – Mengapa perlu jerat diri?

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR

TEKA teki siapa akan mengambil alih lebuh raya terpanjang di negara ini, PLUS Expressway Bhd. (PLUS) dijangkakan terjawab esok.

Kehangatannya semakin terasa apatah lagi daripada hanya satu entiti swasta yang menyuarakan minatnya pada 2017 sehingga bertambah kepada empat pada ketika ini.

Lebih mengejutkan, selepas bersiri-siri pertemuan, perbincangan dan pembentangan, timbul pula spekulasi saat akhir ini bahawa Khazanah Nasional Bhd. pula mencadangkan kerajaan terus menguruskan PLUS.

Memetik laporan sebuah portal berita bahasa Inggeris, PLUS kini menanggung hutang sebanyak RM30.2 bilion di mana RM11 bilion merupakan jaminan kerajaan.

Malah ia mendakwa, jumlah pembayaran hutang pokok ditanggung kerajaan bakal meningkat tahun ini dan semakin membebankan menjelang 2024 dan ‘lebih berat’ pada tahun-tahun seterusnya.

Dalam analisis tersebut yang hanya memetik sumber turut mempersoalkan sekiranya PLUS dijual kepada pihak swasta adakah mereka mampu mengambil alih hutang yang dijamin kerajaan?

Selain turut mempersoalkan adakah kerajaan perlu memberi jaminan terhadap hutang berkenaan.

Sehubungan itu, sebenarnya, soalan yang paling logik dilontarkan adalah, mengapa Khazanah mahu terus kerajaan terbeban sedangkan secara mudah dan ringkasnya menyedari pihak swasta mempunyai formula yang mampu membantu kerajaan ke arah mengurangkan beban hutang termasuk menjanjikan tiada kenaikan tol selama 30 tahun yang akhirnya bakal dimanfaatkan rakyat?

Ini bermakna, kerajaan tidak terbeban dengan hutang, rakyat menikmati kadar tol sama walaupun kenaikan itu sebenarnya berlaku setiap tahun.

Bahkan, secara asasnya, perkara ini mungkin turut disedari oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di mana adalah tidak masuk akal sekiranya konsep kerajaan mahu jual dan kerajaan pula beli.

Maka di mana penyelesaiannya?

Tambahan, Perdana Menteri juga sudah melihat kertas-kertas cadangan dan pengiraan segala kos pengambil alihan pihak swasta berkenaan yang bakal menjanjikan tiada kenaikan tol apabila sebahagian peratusan kos kenaikan itu akan ditanggung oleh pihak swasta.

Pada masa sama, lebih menguntungkan, kerajaan pula boleh menjana pendapatan sehingga 24 peratus daripada hasil kutipan cukai daripada pihak swasta menerusi penjualan lebuh raya berkenaan.

Bukan itu sahaja, inisiatif itu dijangka turut boleh mengelak gejala rasuah daripada terus berleluasa sekiranya lebuh raya dan sebaliknya jika ia terus berada di bawah pengurusan kerajaan.

Tetapi apa yang menghairankan, siapa dalang sebenar yang mahu kerajaan terus menguruskan PLUS sedangkan rekod pembelian awal RM24 bilion namun hutang sudah mencecah lebih RM30 bilion.

Jika melihat rekod prestasi itu, ia boleh dikatakan ibarat pengurusan perniagaan ‘lintang pukang’.

Jika diteruskan ia juga seperti ‘menjerut leher’ sendiri.

Soalan lebih ringkas, berniaga apa sampai rugi setiap tahun?.

Apakah langkah untuk menafikan kemampuan pihak swasta ini disengajakan kerana sentimen semata-mata memandangkan entiti swasta ini terdiri daripada konglomerat Melayu?

Malah merujuk kembali kepada analisis berita yang disiarkan baru-baru ini, pemberian jaminan kerajaan pihak swasta dalam mendapatkan pinjaman bank turut dilihat dijadikan alasan selain usaha untuk menggagalkan pengambil alihan oleh entiti swasta.

Apa tidaknya, tanpa jaminan kerajaan, kadar faedah adalah antara enam hingga tujuh peratus berbanding dengan jaminan kadarnya hanyalah sekitar tiga hingga empat peratus.

Secara jelas, jaminan kerajaan amat penting dan sekiranya entiti swasta itu terpaksa membayar kadar faedah enam hingga tujuh peratus, ia seolah-olah menjalankan perniagaan ‘amal jariah’ dan mungkin perlu menampung kerugian.

Apapun, pada akhirnya, diharapkan sebarang pengumuman dibuat kerajaan ia tidak akan merugikan negara khususnya rakyat secara keseluruhan.

Jangan kerana sentimen, negara dan rakyat merana.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *