Ekonomi

SSPN CATAT KEUNTUNGAN RM118.46 JUTA BAGI TEMPOH SETENGAH TAHUN PERTAMA 2020

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah mencatat keuntungan pelaburan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebanyak RM118.46 juta bagi tempoh setengah tahun pertama tahun 2020.

Keuntungan pelaburan tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 19.66% berbanding RM99.00 juta bagi tempoh yang sama tahun 2019.

Peningkatan keuntungan ini disokong oleh kaedah pelaburan patuh syariah berjangka pendek dan panjang di pasaran wang tempatan yang melindungi prinsipal, di samping memberikan pulangan atau keuntungan yang tinggi dan positif.

Pemantapan strategi pelaburan dengan menumpukan kepada simpanan tetap jangka panjang berjaya mengurangkan tekanan daripada pasaran ekuiti yang tidak menentu di peringkat global.

Impak pandemik Covid-19 pada tahun 2020 ke atas ekonomi negara menjadi cabaran bagi PTPTN dalam menguruskan pelaburan dana SSPN demi melindungi kepentingan pendeposit.

Namun begitu, kepercayaan dan sokongan para pendeposit SSPN kekal utuh dan sentiasa berterusan menyimpan di dalam SSPN bagi tujuan pendidikan anak-anak walaupun dalam situasi yang mencabar ini.

Buktinya rekod pencapaian SSPN bagi tempoh setengah tahun pertama tahun ini terus meningkat. Jumlah deposit yang diterima adalah sebanyak RM682.02 juta berbanding RM425.00 juta pada tempoh yang sama tahun 2019.

Ia menunjukkan peningkatan sebanyak RM257.02 juta atau 60.48%, sekali gus menjadikan deposit SSPN keseluruhan sehingga Jun 2020 berjumlah RM6.57 bilion.

Peningkatan ini adalah hasil usaha dan kerjasama daripada semua pihak serta usaha PTPTN dalam mendepani cabaran-cabaran baharu termasuk menyesuaikan diri dengan situasi semasa pandemik Covid-19.

Sehingga 30 Jun 2020 sebanyak 184,992 akaun baharu SSPN telah dibuka. Secara keseluruhan, sejak SSPN dilancarkan pada tahun 2004 sehingga setengah tahun pertama 2020 sebanyak 4.57 juta akaun SSPN telah dibuka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *