
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepaskan dan membebaskan bekas Ahli Parlimen Kinabatangan, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin daripada tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta berkaitan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.
Hakim Rosli Ahmad membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How memaklumkan bahawa pihak pendakwaan tidak berhasrat meneruskan prosiding terhadap Bung Moktar, 66, susulan kematiannya pada 6 Disember 2025.
Katanya, selaras dengan Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah, pihak pendakwaan memutuskan untuk menarik balik kes terhadap tertuduh pertama.
“Mahkamah dengan ini memerintahkan tertuduh pertama dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan. Wang jaminan berjumlah RM100,000 serta pasport dikembalikan kepada penjamin,” katanya ketika sebutan kes hari ini.
Mahkamah dimaklumkan tiga pertuduhan bersubahat yang dihadapi isteri Allahyarham, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad akan diteruskan selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi bagi menggugurkan pertuduhan berkenaan.
Peguam bela, Teh See Khoon yang mewakili Zizie Izette memohon tarikh perbicaraan baharu, dan mahkamah menetapkan 5, 6 dan 12 Mac ini sebagai tarikh Zizie Izette membela diri.
Tertuduh, 47, dikecualikan daripada hadir pada prosiding hari ini.
Zizie Izette sepatutnya memberi keterangan membela diri pada 12 Januari lalu, namun prosiding ditangguhkan.
Terdahulu, Bung Moktar telah memberi keterangan membela diri pada 2 September tahun lalu.
Bung Moktar didakwa pada 3 Mei 2019 bagi dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Beliau yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Berhad didakwa menerima suapan daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, melalui isterinya di sebuah cawangan bank di Taman Melawati pada 12 Jun 2015.
Beliau turut didakwa menerima RM337,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan, Norhaili Ahmad Mokhtar, melalui akaun dana pelaburan yang didaftarkan atas nama isterinya.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Zizie Izette pula didakwa bagi tiga pertuduhan bersubahat mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dan berdepan hukuman sama sekiranya disabitkan kesalahan.





