Ekonomi

‘Ya kami ‘jelek’, tapi…’

Oleh MUHAMAD AMIRUL AFIQ MASTOR, ESWADI ISHAK dan METRA SYAHRIL MOHAMED

Airlines saya adalah yang terburuk di dunia. My airlines is the worst in the world, but you have no choice. Makanya ada yang bilang, Lion Air dibenci tapi dirindu.”

Demikian petikan temu bual Majalah Angkasa, tahun lalu, bersama Pak Rusdi Kirana, ahli perniagaan terkemuka Indonesia mengenai syarikat penerbangan yang diasaskannya, Lion Air.

LION Air kini merupakan syarikat penerbangan yang mendominasi pasaran Indonesia. – Gambar Lion Air

Malah, perkara sama diulangi beliau ketika pertemuan dengan Ceritera di pejabatnya di Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) Kuala Lumpur, baru-baru ini.

RUSDI KIRANA

Pak Rusdi yang juga Duta Besar Luar Biasa dan Berkuasa Penuh Republik Indonesia untuk Kerajaan Malaysia secara terbuka turut mengakui syarikat penerbangannya itu ‘jelek’.

“Memang kami ‘jelek’, tetapi, kami (Lion Air) mendominasi market Indonesia,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Ceritera itu.

Pertemuan tersebut turut dihadiri Koordinator Fungsi Penerangan Sosial dan Budaya (Pensosbud), Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) Kuala Lumpur, Agung Cahaya Sumirat; Koordinator Fungsi Politik, Agus Badrul Jamal dan Asisten Peribadi Duta Besar, Djadjuk Natsir.

Sebetulnya, penegasan Pak Rusdi itu berpandukan kepada cakap-cakap orang di media sosial mengenai ‘kejelekan’ Lion Air, yang dilihatnya sebagai satu cabaran untuk terus membawa Lion Air terbang lebih tinggi, sebaris dengan nama-nama besar syarikat penerbangan global.

Namun begitu, perjalanan beliau membangunkan jenama Lion Air berdepan ‘detik hitam’ dengan tragedi JT610, pesawat Boeing 737 MAX 8 yang terhempas di perairan Karawang, Jawa Barat, tahun lalu.

Seramai 189 orang terkorban.

Ujian tersebut cukup memberi kesan buat Pak Rusdi dan Lion Air, syarikat penerbangan yang memulakan operasi pertama pada 30 Jun 2000 melalui laluan dari Jakarta ke Pontianak menggunakan pesawat Boeing 737-200 itu.

Masakan tidak, cakap-cakap negatif terhadap Lion Air di media sosial sebelum ini semakin membuak-buak dengan peristiwa berkenaan.

Bagaimanapun, kejadian sama yang berlaku terhadap pesawat Boeing 737 MAX 8 milik Ethiopian Airlines, beberapa bulan selepas itu, sedikit sebanyak ‘melenyapkan’ ungkapan negatif terhadap Lion Air.

Kini segalanya terhala kepada ‘bahu’ Boeing mengenai tragedi yang menimpa dua pesawat 737 MAX 8.

Tak melihat atau berterusan menoleh ke belakang, kini Lion Air yang memiliki kawasan terintegrasi di wilayah Balaraja, Banten dinamakan Lion City, mempunyai rencana (perancangan) lebih besar bagi mengukuhkan jenama syarikat.

LION CITY @ MALAYSIA

Melihatkan kehebatan ‘kota singa’ (Lion City) di Banten yang antara lain menempatkan Angkasa Training Center (ATC) serta kediaman bagi pramugari dan pramugara Lion Air Group, Ceritera turut bertanyakan sama ada Pak Rusdi ‘berkira-kira’ untuk mewujudkan kota yang sama di Malaysia, khususnya berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ini susulan Malindo Air, syarikat penerbangan milik Lion Air Group yang beroperasi di Malaysia, kini semakin berkembang dan memerlukan ‘acuan’ sama dengan kemudahan Lion City.

“Harus (ada perancangan itu),” katanya.

BAKAL pramugari yang menjalani latihan di Angkasa Training Center di Lion City, Banten, Indonesia.

Beliau memberitahu, Lion Air Group sedang membangunkan kemudahan simulator penerbangan, latihan, hangar serta kemudahan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di Malaysia.

“Mungkin pertengahan tahun depan, kemudahan-kemudahan itu akan beroperasi, seperti akademi,” jelas beliau.

Katanya, Lion City secara psikologinya amat membantu mengurangkan kos perbelanjaan kakitangannya kerana segala kemudahan berada di ‘bandar’ tersebut.

“Kalau di Indonesia, kos paling besar (bagi kakitangan) adalah dari segi pengangkutan dan perubatan. Dengan Lion City, semuanya itu dapat dijimatkan termasuk masa perjalanan (kakitangan) ke tempat kerja.

“Di Malaysia itu tidak macet (sesak) berbanding di Jakarta. Maka kepentingan Lion City di Jakarta itu lebih urgent berbanding Kuala Lumpur.

“Tetapi, kita harus ada perancangan itu di sini (Kuala Lumpur). Ini secara tidak langsung dapat membantu mereka (kakitangan) dari segi kos dan psikologi,” tambahnya.

Kompleks yang dibangunkan itu juga tertumpu kepada melatih lebih ramai juruterbang tempatan kerana perkembangan positif Malindo Air.

KEMUDAHAN simulator penerbangan di Angkasa Pilot Training di Jakarta, Indonesia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *