
KUALA LUMPUR, 15 Julai – Sebanyak 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa kerajaan Malaysia menggunakan hak kedaulatan negara untuk menolak pencalonan Nick Adams sebagai Duta Besar Amerika Syarikat (AS) yang baharu ke Malaysia.
Dalam satu kenyataan bersama, kumpulan NGO tersebut menyuarakan kebimbangan berhubung laporan bahawa Adams, seorang penulis dan pengulas pro-Israel, sedang dipertimbangkan untuk dilantik ke jawatan diplomatik tertinggi AS di negara ini.
“Memandangkan kenyataan awam beliau yang kontroversial serta retorik bersifat memecah-belahkan, kami dengan penuh hormat menggesa kerajaan Malaysia menolak akreditasi beliau sekiranya pencalonan itu dikemukakan secara rasmi,” menurut kenyataan itu.
Menurut mereka, Nick Adams memiliki rekod membuat kenyataan provokatif yang tidak selari dengan nilai dan prinsip yang dipegang Malaysia, termasuk kesederhanaan, keharmonian masyarakat majmuk serta adab dalam hubungan diplomatik.
NGO terbabit menegaskan bahawa pelantikan individu yang tidak mencerminkan semangat saling menghormati antara negara hanya akan menjejaskan hubungan dua hala serta memberi kesan negatif kepada imej diplomatik Malaysia.
Sebelum ini, bekas Presiden AS, Donald Trump mengumumkan pencalonan Adams sebagai Duta Besar AS ke Malaysia. Trump dalam kenyataan di platform Truth Social menyifatkan Adams sebagai seorang ‘nasionalis luar biasa dan “usahawan berjaya” yang memperjuangkan apa yang disebut sebagai ‘Nilai Keunggulan Amerika’.
“Ucapan beliau yang lalu berkaitan isu kaum, agama, serta hubungan antarabangsa boleh menjejaskan hubungan dua hala yang kukuh antara Malaysia dan AS selain mencetuskan ketegangan dalam masyarakat majmuk negara ini,” kata kumpulan NGO.
Antara 20 NGO yang menandatangani kenyataan itu adalah BDS Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Viva Palestina Malaysia, Muslim Care Malaysia, Global Peace Mission Malaysia, MyCare, Ikram, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Persatuan Cinta Gaza Malaysia.
Pengumuman Presiden AS, Donald Trump sebelum ini mengenai pencalonan Adams yang juga pengulas konservatif dan penulis mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk ahli politik negara ini.
Dalam satu hantaran di platform Truth Social, Trump menyifatkan Adams sebagai seorang nasionalis luar biasa serta usahawan yang sangat berjaya, sambil memuji komitmennya terhadap apa yang digelarnya sebagai ‘Nilai Keunggulan Amerika’.
Kumpulan NGO berkenaan berkata Malaysia berhak menerima seorang Duta Besar yang berwibawa, mempunyai kepekaan budaya serta komited untuk memelihara hubungan antarabangsa yang kukuh dan saling menghormati.
Menurutnya, Adams sebelum ini pernah membangkitkan kenyataan dan pandangan merendahkan wanita yang menurut mereka boleh menjejaskan reputasi dan keharmonian negara.
Di samping itu, katanya, kenyataan Adams sebelum ini berkenaan kaum, agama dan hubungan antarabangsa berisiko menjejaskan hubungan dua hala yang kuat antara Malaysia dan AS.
“Contohnya, dia pernah bermegah apabila menyebabkan seorang pekerja wanita sebuah kedai dibuang hanya kerana memakai pin ‘Free Palestine’ pada bajunya.
“Selain itu, Adams pernah mengeluarkan kenyataan berbaur seksis dan memuji premis makanan tertentu yang terkenal kerana mempekerjakan pelayan berpakaian menjolok mata.
“Justeru, Malaysia sentiasa menjunjung prinsip hormat-menghormati dan diplomasi yang membina.
“Menerima pelantikan seorang duta yang dikenali dengan pendirian ekstrem dan pandangan yang memecah-belahkan boleh mencemarkan imej Malaysia sebagai negara yang aman, inklusif dan berperanan aktif dalam menjalin hubungan antarabangsa secara positif.
“Kami mengucapkan terima kasih atas perhatian kerajaan terhadap perkara penting ini dan percaya keputusan yang diambil kelak akan mengutamakan keharmonian negara serta integriti diplomatik Malaysia,” katanya.