
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal menggugurkan empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM232.5 juta serta tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana RM200 juta, selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dikemukakannya.
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, keputusan berkenaan disampaikan kepada Ahli Parlimen Pagoh itu pada 22 Ogos lalu.
“Sehubungan itu, saya mohon mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan bagi keempat-empat kes berkaitan suapan serta tiga kes di bawah Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA). Saya juga memohon agar semua kes ini dibicarakan secara bersama,” katanya.
Beliau memaklumkan pihak pendakwaan bersedia memulakan perbicaraan seawal Januari 2026. Namun, peguam bela Muhyiddin, Datuk Hisyam Teh Poh Teik mencadangkan tarikh perbicaraan ditetapkan pada Mei atau Jun tahun hadapan.
Hakim K Muniandy kemudiannya menetapkan 10 November ini untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh perbicaraan. Beliau turut membenarkan permohonan pendakwaan supaya Muhyiddin dikecualikan daripada hadir pada sebutan kes akan datang.
Pada 15 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi telah membatalkan empat pertuduhan terhadap Muhyiddin dengan alasan ia kabur dan tidak berasas. Namun, pada 28 Februari lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan pertuduhan tersebut perlu dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut.
Kemudian pada 4 April, Muhyiddin memfailkan permohonan agar kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi atas alasan ia melibatkan isu undang-undang yang kompleks dan kepentingan awam.
Empat pertuduhan yang dihadapi Muhyiddin berkait dengan dakwaan menyalahgunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk mendapatkan suapan daripada seorang individu serta tiga syarikat, melibatkan jumlah keseluruhan RM232.5 juta.
Tiga lagi pertuduhan pula membabitkan penerimaan dana berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, yang didakwa sebagai hasil aktiviti haram dan dimasukkan ke dalam akaun parti Bersatu.