
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah kerajaan melaksanakan kempen antibuli secara menyeluruh bermula di peringkat sekolah rendah bagi membendung gejala buli yang boleh merosakkan mental, emosi dan nilai kemanusiaan dalam kalangan generasi muda.
Baginda bertitah, buli bukan sekadar masalah disiplin, tetapi mampu mencetuskan pelbagai tragedi jika tidak dibendung dari awal.
“Anak-anak perlu diberi penerangan sejak kecil.
“Kempen ini penting untuk membimbing mereka memahami erti hormat-menghormati dan berdisiplin,” titah baginda dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.
Seri Paduka menyambut baik pelaksanaan Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025, yang menurut baginda, membuktikan komitmen kerajaan untuk membanteras jenayah buli secara tegas dan menyeluruh.
Baginda juga menekankan keperluan pendekatan merentasi kementerian dan agensi supaya usaha membanteras buli dapat dilaksanakan secara holistik.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Fadzil di Istana Negara.
Dalam sesi itu, Fahmi mempersembahkan taklimat mengenai komitmen kementeriannya dalam menangani isu buli serta tindakan yang sedang diambil.
Beliau juga mempersembahkan perancangan sambutan Hari Kebangsaan 2025 kepada Seri Paduka Baginda.