
KUALA LUMPUR: Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) mengesahkan kematian tragis seorang pegawainya di Gaza, Nour Al-Din Tayser Mustafa Dababesh, dalam serangan udara oleh rejim Zionis yang berlaku petang semalam.
Serangan berlaku sekitar pukul 2.30 petang waktu tempatan itu turut meragut nyawa isteri, nenek, kakak serta dua anak saudara mangsa, manakala empat anaknya cedera.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Shaharul Anwar, dalam kenyataan menyifatkan pemergian Nour Al-Din sebagai satu kehilangan besar bagi organisasi kemanusiaan itu dan seluruh masyarakat yang prihatin terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Menurutnya, maklumat mengenai insiden menyayat hati itu disampaikan oleh Pengurus MyCARE Gaza, Dr Ziad Shehada, melalui saluran Telegram rasmi kepada ibu pejabat di Malaysia.
Nour Al-Din telah berkhidmat bersama MyCARE Gaza sejak awal penubuhan pejabat tersebut pada tahun 2014 dan memainkan peranan penting dalam menguruskan hal ehwal kewangan serta memastikan segala bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan.
Ketekunannya dalam menjalankan tanggungjawab digambarkan sebagai penuh amanah dan berdedikasi, menjadikan kehilangannya amat dirasai oleh seluruh warga MyCARE.
Kamarul Zaman turut memaklumkan serangan udara ke atas kawasan kediaman Nour Al-Din bukan satu kes terpencil, malah menurut laporan Dr Ziad, kawasan kejiranan di Gaza dibedil hampir setiap hari, menyebabkan penduduk awam hidup dalam ketakutan berterusan.
Beliau berkata, ini bukan kali pertama MyCARE kehilangan petugas akibat keganasan rejim Zionis. Pada Jun tahun lalu, juruvideo mereka, Anas Ashour, turut terbunuh dalam serangan serupa.
Dalam kenyataannya, Kamarul Zaman menyeru masyarakat antarabangsa tidak terus membisu terhadap jenayah yang dilakukan Israel ke atas rakyat Palestin.
Beliau menggesa tekanan diplomatik dan tindakan konkrit diteruskan supaya kekejaman yang berlarutan ini dihentikan serta-merta.
Katanya, Israel wajib dipertanggungjawabkan untuk mematuhi undang-undang antarabangsa, menghentikan pembunuhan awam dan membenarkan bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza tanpa halangan.
Mengakhiri kenyataan, beliau merayu kepada rakyat Malaysia mendoakan keselamatan rakyat Palestin serta kekuatan kepada seluruh pasukan MyCARE yang berada di lapangan, menghadapi ujian getir dalam usaha mempertahankan nilai kemanusiaan.