
SEPANG : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran tegas kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing serta kementerian berkaitan agar memastikan insiden penghidangan arak di majlis rasmi kerajaan tidak berulang lagi.
Beliau menegaskan alasan kementerian yang mengatakan minuman keras hanya disajikan selepas acara rasmi tidak dapat diterima, kerana dasar kerajaan secara jelas melarang penghidangan arak sama sekali dalam acara rasmi.
“Penjelasan MOTAC ialah setelah selesai acara rasmi, tapi tempat dan majlis yang sama.
“Kami telah berikan peringatan keras kepada Menteri dan Kementerian supaya tidak mengulangi kesilapan ini walaupun penjelasan itu adalah bahawa program berakhir tetapi tidak wajar sama sekali,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian kepada Bernama dan RTM di Kompleks Bunga Raya di sini selepas menghantar pulang Perdana Menteri Pakistan Muhammad Shehbaz Sharif yang selesai mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau telah mengingatkan Jemaah Menteri dan seluruh jentera kerajaan supaya tidak cuai dalam menangani isu tersebut, dan perlu memastikan kesilapan sama tidak berulang pada masa hadapan.
“Saya peringatkan Jemaah Menteri dan seluruh jentera kerajaan supaya tidak cuai dalam masalah ini,” kata Perdana Menteri.
Sebelum ini, tular gambar memaparkan minuman keras dihidangkan pada majlis makan malam sempena program Global Travel Meet yang dihadiri Tiong.
Beberapa gambar juga menunjukkan menteri berkenaan serta tetamu lain memegang gelas berisi wain dan bir.