
KUALA LUMPUR: Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM100 secara sekali beri (one-off) mula disalurkan hari ini kepada semua warganegara dewasa berusia 18 tahun ke atas, bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2025.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata bantuan tunai itu dikreditkan terus ke MyKad penerima dan boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan asas terpilih daripada 14 kategori produk.
“Ini adalah ikhtiar segera untuk meringankan beban sara hidup rakyat dan sebagai tanda penghargaan kerajaan kepada rakyat Malaysia,” katanya.
Menurut Anwar, bantuan itu memberi manfaat kepada kira-kira 22 juta rakyat dewasa dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM2 bilion.
Orang ramai boleh menggunakan bantuan ini di lebih 4,100 premis seluruh negara, termasuk pasar raya seperti Mydin, Lotus’s, Econsave, 99 Speedmart serta pelbagai kedai runcit di seluruh daerah.
Kerajaan juga mengumumkan jumlah keseluruhan peruntukan bagi program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA dinaikkan daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion bagi tahun ini.
Ini merupakan kali pertama dalam sejarah negara bantuan tunai disalurkan kepada semua rakyat dewasa tanpa pengecualian, menggambarkan pendekatan inklusif kerajaan dalam membantu rakyat menghadapi kos sara hidup.
Walaupun kadar inflasi keseluruhan bagi Jun 2025 berada pada paras terendah dalam tempoh 52 bulan iaitu 1.1 peratus, Anwar menjelaskan harga makanan dan minuman masih menunjukkan peningkatan melebihi purata inflasi dan perkara itu perlu ditangani segera secara bijaksana.