
KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Pendidikan, Mohd Azam Ahmad mendedahkan banyak isu negatif seperti kes amang seksual dan buli di sekolah sebelum ini ‘disimpan di bawah karpet’ tanpa tindakan sewajarnya.
Katanya, sejak dilantik memegang jawatan itu tiga bulan lalu, pelbagai data dan maklumat berkenaan gejala sosial di sekolah dikumpul dan menjadi tanggungjawab beliau untuk membongkarnya demi mengelak kejadian lebih buruk.
“Jika semuanya mahu disimpan dalam karpet, seolah-olah hanya perkara baik saja yang berlaku, tetapi hakikatnya, ada perkara serius yang sedang berlaku.
“Ini umpama duri dalam daging atau bom atom yang hanya menunggu masa untuk meletup,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Program Kempen Anti Buli anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Azam turut mengingatkan semua kes berkaitan gejala negatif seperti buli dan amang seksual perlu dilaporkan dan tidak boleh didiamkan begitu sahaja.
“Setiap aduan yang diterima, sama ada berkaitan buli atau amang seksual mesti diberi perhatian serius.
“Hanya dengan itu kita boleh duduk bersama, menyusun strategi dan bekerjasama memikul tanggungjawab,” tegas beliau.
Beliau turut melahirkan rasa lega apabila isu-isu yang selama ini ‘disorokkan’ mula dibangkitkan dan mendapat perhatian masyarakat.
“Apabila perkara yang disembunyikan ini dibawa ke pengetahuan umum, ia mencetuskan kesedaran bahawa perlunya ada inisiatif baharu untuk membentuk program mendidik generasi muda hari ini,” katanya.
Azam menyeru semua pihak termasuk sekolah, guru, ibu bapa dan masyarakat untuk terbuka dalam menangani isu-isu kritikal yang berlaku dalam sistem pendidikan, demi keselamatan dan masa depan murid.