
KUALA LUMPUR : Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, menjangkakan pembentangan Belanjawan 2026, Jumaat ini akan mengambil kira ketidaktentuan dalam pasaran ekonomi global ekoran dasar tarif yang diterapkan oleh Amerika Syarikat (AS).
Beliau berkata, keutamaan kerajaan kini adalah untuk mengurangkan defisit negara yang menjadi perhatian utama dalam belanjawan yang pertama kali dibentangkan setelah pengumuman Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Johari yang juga Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menekankan kerajaan perlu berwaspada dan mengambil langkah strategik untuk menyesuaikan diri dengan keadaan ekonomi global yang tidak menentu akibat dasar tarif AS.
“Kita harus mengambil maklum, kerajaan hari ini berusaha bersungguh-sungguh untuk mengurangkan defisit dan pada masa sama kedudukan ekonomi global juga terjejas dengan tarif yang dikenakan AS, termasuk ketidaktentuan dalam ekonomi dunia.
“Malaysia sebagai sebuah negara yang terbabit secara langsung dalam perdagangan terbuka akan turut terkesan, dan dalam proses kerajaan merangka belanjawan, saya percaya ia akan berdepan perkara yang sama iaitu bagaimana untuk mengimbangi defisit,” katanya ketika berucap pada Simposium Maklumat Geospatial Kebangsaan (NGIS) di sini, hari ini.
Sementara itu, mengenai peruntukan kepada kementeriannya dalam Belanjawan 2026, Johari berkata terdapat beberapa perkara penting yang diminta pihaknya khusus untuk pembangunan negara.
“Kita mempunyai beberapa keutamaan (yang memerlukan peruntukan Belanjawan 2026) dan kita sudah membuat permintaan, tetapi ia bergantung kepada Kementerian Kewangan (MOF),” katanya.