
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau bukan individu yang wajar diberi penghargaan dalam penganjuran misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG).
Menurut Anwar, inisiatif tersebut bukan digagaskan oleh dirinya, sebaliknya merupakan hasil usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) global serta kumpulan anak muda yang prihatin terhadap nasib rakyat Palestin yang ditindas.
“Inisiatif GSF dan FFC x TMTG ini bukan inisiatif saya. Saya tak boleh ambil kredit. Ada sekumpulan anak muda di negara ini mahu menerajui usaha berkenaan dan saya kata okey kita beri sokongan dan bantuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi ‘In Conversation with Prime Minister’ sempena Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Antarabangsa (iFUTURE) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.
Anwar menjelaskan sokongan beliau terhadap misi tersebut diberikan selepas diminta untuk menyatakan komitmen secara rasmi.
“Mereka kemudian meminta saya untuk menyatakan sokongan penuh serta memberi pengiktirafan secara rasmi, dan saya kata ‘ya’ kepada mereka,” jelasnya
Sokongan rasmi Malaysia terhadap GSF dan FFC x TMTG dsebagai satu dorongan besar kepada misi kemanusiaan antarabangsa ke Gaza yang bergelut dalam krisis kemanusiaan akibat konflik berterusan.
Misi GSF dan FFC x TMTG kini menjadi antara inisiatif antarabangsa paling menonjol dalam menyampaikan bantuan kepada rakyat Palestin dengan penyertaan pelbagai negara serta jaringan aktivis kemanusiaan dari seluruh dunia.