
SEPANG: Seorang wanita warga China dipenjara sebulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan seorang pegawai imigresen ketika pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, minggu lalu.
Fang Fuyuan, 31, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah. Hukuman dijatuhkan oleh Majistret Khairatul Animah Jelani.
Fuyuan didakwa secara sengaja menyebabkan kecederaan terhadap pegawai Imigresen, Nurdiana Atirah Shapinaz Abdul Rahman, ketika mangsa menjalankan tugas rasminya sebagai penjawat awam.
Kejadian berlaku pada pukul 8 malam, Rabu lalu, di kaunter imigresen, Aras 4, Balai Pelepasan KLIA Terminal 1.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes, mangsa diminta oleh rakan sekerja untuk mengalihkan Fuyuan dan tiga ahli keluarganya kerana mereka tidak mempunyai rekod kemasukan ke Malaysia, bagi membolehkan penumpang lain meneruskan pemeriksaan.
Namun, ketika diarahkan ke tepi, Fuyuan bertindak agresif dengan meninggikan suara, menarik tudung mangsa dan menolak muka serta kepala mangsa ke arah tiang berhampiran kaunter.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami gegaran kepala, kecederaan pada muka kiri, pedih di bawah mata, dan bengkak kemerahan.
Peguam bela Fuyuan, Tai Ying Fung dan Jason Anthony, merayu anak guam mereka hanya dikenakan denda atas beberapa faktor termasuk pengakuan bersalah yang menjimatkan masa mahkamah, kesalahan pertama, sudah insaf, mempunyai dua anak kecil berumur setahun setengah dan lima tahun selain tiada sokongan keluarga di Malaysia.
Peguam turut menjelaskan insiden itu berpunca daripada salah faham dan masalah komunikasi yang berlaku secara spontan, bukan dirancang.
Timbalan Pendakwa Raya, V Luvithaa, bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal demi kepentingan awam serta keselamatan penjawat awam.
Mahkamah akhirnya memutuskan Fuyuan dikenakan penjara sebulan bermula dari tarikh tangkap, serta denda RM2,000, atau penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.