
REMBAU: Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan masyarakat antarabangsa perlu menolak sepenuhnya hasrat Israel untuk merampas keseluruhan tanah Palestin dan memindahkan penduduk Semenanjung Gaza ke negara ketiga.
Beliau menyifatkan tindakan rejim Zionis itu sebagai satu bentuk penjajahan moden dan kebiadapan antarabangsa yang melampau, khususnya apabila Israel terus melaksanakan kekejaman serta genosid terhadap rakyat Palestin tanpa menghiraukan tekanan global.
“Israel secara terang-terangan ingin menguasai Gaza. Lebih dahsyat, mereka menggunakan makanan sebagai senjata perang dengan menghentikan bekalan kepada penduduk, menyebabkan ramai ibu dan anak-anak kebuluran.
“Malah, hampir 2,000 penduduk yang datang mendapatkan bantuan makanan telah ditembak. Ini adalah bentuk penjajahan moden yang amat kejam,” katanya kepada media selepas menyampaikan bantuan kebajikan kepada lebih 200 penerima di Dewan Orang Ramai Rantau, di sini, hari ini.
Sementara itu, Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali turut menegaskan tidak wujud istilah “rumah kedua” atau negara alternatif bagi rakyat Palestin.
Beliau menolak sekeras-kerasnya sebarang cadangan untuk memindahkan penduduk Gaza ke negara lain seperti Sudan Selatan.
Mohamad berkata, tindakan Israel yang terus mengingkari gencatan senjata dan enggan mematuhi desakan antarabangsa membuktikan rejim itu tidak layak menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Sudah sampai masanya keahlian Israel dalam PBB digantung atau dibatalkan sepenuhnya,” tegasnya.
Menurutnya, gesaan untuk mengenakan sekatan antarabangsa terhadap Israel telah pun dibawa dalam mesyuarat tergempar Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) baru-baru ini, dan negara-negara anggota telah bersetuju sebulat suara menolak hasrat Israel menguasai Gaza.
“Saya akan terus membawa mesej ini ke pentas antarabangsa agar Israel dikenakan tindakan tegas dan tidak terus dibenarkan menjadi sebahagian daripada masyarakat dunia,” katanya.
Mohamad berkata, sudah tiba masa untuk masyarakat antarabangsa mengambil tindakan terhadap penggunaan senjata yang digunakan Israel dalam membunuh rakyat Palestin.
“Masyarakat dunia tidak boleh terus memejamkan mata terhadap kekejaman yang dilakukan Zionis Israel. Penindasan ini mesti dihentikan dan keadilan untuk Palestin mesti ditegakkan,” katanya.