
KUALA LUMPUR: Sebanyak empat agenda strategik menjadi fokus utama Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) ke-43 dan siri mesyuarat berkaitan yang akan berlangsung pada 16 hingga 17 Oktober ini di ibu negara.
Mesyuarat itu bakal dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Menerusi kenyataan, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memaklumkan mesyuarat kali ini akan meneliti Pelan Tindakan Tenaga ASEAN (APAEC) 2026–2030, yang akan menjadi pelan hala tuju tenaga serantau bagi tempoh lima tahun akan datang.
Dua Memorandum Persefahaman (MoU) serantau berkaitan ASEAN Power Grid (APG) dan ASEAN Petroleum Security Agreement (APSA) turut dijangka dimuktamadkan bagi memperkukuh kesalinghubungan tenaga serantau, mempercepat peralihan tenaga rendah karbon dan menjamin keselamatan bekalan tenaga di seluruh ASEAN.
Satu lagi inisiatif penting yang akan dibincangkan ialah cadangan pelaksanaan ASEAN Power Grid Financing (APGF), iaitu mekanisme pembiayaan bersepadu yang dibangunkan bersama Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Bank Dunia.
Inisiatif ini bakal menyediakan kemudahan kewangan melebihi AS$12.5 bilion bagi menyokong projek sambungan grid tenaga merentas sempadan di rantau ini.
“Ia bukan sahaja memperkukuh infrastruktur tenaga ASEAN, malah membuka laluan kepada integrasi tenaga boleh baharu secara lebih meluas dalam sistem serantau,” menurut kenyataan itu
Turut menjadi agenda penting ialah pelbagai kerjasama tenaga rendah karbon yang akan digerakkan bersama rakan dialog luar ASEAN dan organisasi tenaga antarabangsa, sebagai langkah konkrit ke arah peralihan tenaga yang lebih mampan dan inklusif.
Mesyuarat AMEM ke-43 merupakan platform utama kerjasama tenaga serantau, yang menghimpunkan menteri-menteri tenaga negara anggota ASEAN, wakil rakan dialog antarabangsa, institusi kewangan pelbagai hala, organisasi tenaga global, serta pemain industri dan pakar teknikal.
Beberapa mesyuarat lain turut dijadualkan sepanjang dua hari persidangan, antaranya AMEM+3 bersama China, Jepun dan Korea Selatan; Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS EMM) ke-19; Dialog AMEM–Amerika Syarikat; serta sesi khas bersama Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dan Agensi Tenaga Boleh Baharu Antarabangsa (IRENA).
Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah mesyuarat ini adalah pada tahun 2015. Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia kini menerajui agenda tenaga serantau dengan memberi tumpuan kepada pembangunan ASEAN Power Grid (APG) sebagai rangka kerja utama menjamin bekalan tenaga berdaya tahan dan menangani impak perubahan iklim.
Malaysia juga memperkukuh peranannya dalam membentuk pasaran tenaga serantau yang lebih terbuka melalui pembangunan piawaian ASEAN bagi Sijil Tenaga Boleh Baharu (Renewable Energy Certificate – REC), selaras dengan aspirasi menjadikan tenaga bersih sebagai tulang belakang pertumbuhan ekonomi hijau rantau ini.
Sebagai penghargaan kepada inovasi dan kecemerlangan dalam sektor tenaga, majlis Anugerah Tenaga ASEAN 2025 akan berlangsung pada 16 Oktober.
Tiga kategori utama bakal dipertandingkan, iaitu ASEAN Coal Awards, ASEAN Energy Efficiency and Conservation Best Practices Awards dan ASEAN Renewable Energy Awards, sebagai pengiktirafan kepada pencapaian luar biasa dalam bidang tenaga mampan di seluruh ASEAN.
ASEAN Energy Business Forum (AEBF) 2025 akan diadakan serentak sebagai platform dialog antara sektor swasta, pelabur, pemain industri, institusi kewangan dan pemaju tenaga.
“Malaysia komited untuk menjadi peneraju dalam peralihan tenaga serantau melalui kepimpinan berwibawa, dasar progresif dan kerjasama erat dengan negara-negara jiran serta rakan antarabangsa,” jelas kenyataan itu.