
PUTRAJAYA: Kesemua empat pelajar lelaki yang disyaki merogol seorang rakan perempuan secara bergilir-gilir di sebuah sekolah menengah di Melaka minggu lalu dibuang sekolah serta-merta, kata Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad.
Katanya, keputusan tersebut dibuat oleh Lembaga Tatatertib Sekolah yang bersidang pagi tadi, selepas meneliti kes berprofil tinggi yang telah mencetuskan kemarahan masyarakat dan menimbulkan persoalan terhadap keselamatan pelajar di sekolah.
“Kita inginkan keadilan dapat ditegakkan dan sesiapa saja yang bersalah, Kementerian Pendidikan (KPM) bertegas mereka perlu dihukum,” tegas Dr Mohd Azam dalam satu sidang akhbar khas hari ini.
Beliau turut memaklumkan semua suspek kini direman oleh polis bagi membantu siasatan.
Mengulas mengenai kelayakan suspek untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadual bermula 3 November ini, Dr Mohd Azam menjelaskan kebenaran itu tidak bermaksud mereka terlepas daripada hukuman atau tindakan undang-undang.
“Ia tidak mengganggu proses undang-undang yang sedang berjalan. Hak mereka sebagai murid dan calon SPM tetap kita akan berikan, sementara kes yang melibatkan mereka akan diputuskan oleh pihak yang berkaitan,” katanya.
Bagaimanapun, keempat-empat suspek tidak akan menduduki peperiksaan SPM di sekolah asal mereka.
Sebaliknya, KPM akan menempatkan mereka di lokasi khas yang berasingan, termasuk kemungkinan di tempat tahanan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Dalam sidang media itu juga, Dr Mohd Azam mengingatkan semua pentadbir institusi pendidikan di seluruh negara agar mempertingkat pemantauan dan keberkesanan aspek keselamatan pelajar di sekolah masing-masing.
“Kita seru kerjasama semua pihak, termasuk ibu bapa dan masyarakat untuk memastikan ekosistem pembelajaran yang selamat bukan sahaja di dalam, malah di luar kawasan sekolah,” ujarnya.
Kes ini mendapat perhatian meluas selepas media melaporkan empat pelajar lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian rogol terhadap seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah akan tetap dibenarkan menduduki SPM, walaupun sedang disiasat oleh pihak berkuasa.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sebelum ini menjelaskan keputusan membenarkan mereka menduduki peperiksaan dibuat bagi memastikan hak pendidikan pelajar tidak dinafikan, namun menegaskan aspek keadilan tetap menjadi keutamaan KPM.