
PUTRAJAYA: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek diberi tempoh 30 hari untuk memenuhi enam tuntutan berkaitan keselamatan murid, atau berundur daripada jawatan jika gagal berbuat demikian.
Desakan itu disuarakan oleh kira-kira 20 peserta himpunan aman bertemakan ‘UndurFadhlina’, yang diketuai Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) dan Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM), di hadapan bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pagi tadi.
Presiden GAMIS, Azamuddin Sahar berkata, himpunan itu diadakan bagi menyerahkan memorandum secara terus kepada Fadhlina, susulan kegagalan beliau menangani isu kematian murid, Zara Qairina Mahathir, serta kelemahan dalam pelaksanaan reformasi pendidikan dan isu keselamatan pelajar.
“Kami mahu tuntutan ini diserahkan secara langsung kepada menteri. Banyak isu keselamatan pelajar, terutamanya kes buli, yang semakin membimbangkan tidak ditangani secara menyeluruh,” katanya ketika ditemui media.
Bagaimanapun, memorandum berkenaan akhirnya diterima oleh wakil KPM, Faiz Rashid, pukul 12.20 tengah hari.
Antara enam tuntutan utama yang dikemukakan adalah:
Sistem sokongan psikososial di sekolah – Meningkatkan nisbah kaunselor kepada pelajar dan menyediakan talian aduan mesra pelajar 24 jam untuk laporan rahsia kes buli.
Latihan wajib guru dan warden – Penerapan konsep ‘trauma-informed education’ dalam latihan wajib kepada guru dan pengurus asrama.
Didikan ibu bapa – Menjadikan modul pendidikan untuk ibu bapa sebagai wajib melalui seminar berkala.
Panel pemantau bebas – Penubuhan panel bebas bagi menilai dan menyemak laporan kes buli di sekolah.
Pelan tindakan nasional antibuli – Memperkenalkan peta hala tuju awal (roadmap) dengan sasaran, garis masa, indikator kejayaan dan laporan berkala setiap tiga bulan.
Langkah keselamatan tambahan – Pemasangan CCTV dan penubuhan unit khas siasatan buli yang melibatkan guru, polis dan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Presiden HARAM, Brandon Gan pula mempertikaikan keberkesanan dasar sedia ada seperti mewajibkan laungan antibuli di sekolah, yang disifatkan sebagai tindakan kosmetik dan tidak menyelesaikan punca sebenar masalah.
Beliau juga membantah insentif kepada sekolah yang diisytihar ‘sifar buli’, kerana menurutnya, pendekatan itu boleh mendorong pihak sekolah menyembunyikan insiden buli demi menjaga imej institusi.
Dalam satu kenyataan di Facebook, Fadhlina menyatakan KPM akan meneliti setiap cadangan yang dikemukakan.
Beliau turut memaklumkan kementerian kini melaksanakan beberapa inisiatif bagi memperkukuh keselamatan di sekolah, termasuk audit keselamatan, pemasangan CCTV dan penubuhan Jawatankuasa Reformasi Keselamatan.
“Saya mengalu-alukan pandangan serta cadangan semua pihak dalam usaha menambah baik aspek keselamatan di institusi pendidikan.
“Perjuangan memerangi buli dan memastikan ekosistem sekolah yang selamat adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya.