
KUALA LUMPUR: Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mendapati beberapa pemain di bawah naungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menggunakan dokumen palsu bagi mengelak peraturan kelayakan, sekali gus membolehkan mereka mewakili skuad Harimau Malaya.
Menurut laporan siasatan Jawatankuasa Tatatertib FIFA, terdapat percanggahan antara dokumen yang dikemukakan FAM dengan bukti asal yang diperoleh, termasuk sijil kelahiran nenek atau datuk pemain terlibat yang berasal dari luar negara seperti Sepanyol, Argentina, Brazil dan Belanda.
“Hasil siasatan tersebut telah diperincikan dalam dua laporan siasatan (Investigatory Reports),” menurut kenyataan itu.
Sekretariat berkenaan juga berjaya memperoleh salinan asal sijil kelahiran nenek atau datuk kepada pemain-pemain terlibat yang menunjukkan mereka berasal dari negara luar iaitu María Belen Concepcion Martin (Santa Cruz de la Palma, Sepanyol), Carlos Rogelio Fernandez (Villa Maria Selva, Santa Fe de la Cruz, Argentina), Omar Eli Holgado Gardon (Caseros, Buenos Aires, Argentina), Concepcion Agueda Alaniz (Roldan, Argentina), Nair de Oliveira (Abre Campo, Brazil), Gregorio Irazabal y Lamiquiz (Villa de Guernica y Luno, Viscaya, Sepanyol) and Hendrik Jan Hevel (The Hague, Belanda).
Bagaimanapun, dokumen dikemukakan FAM kepada FIFA menunjukkan maklumat berbeza antaranya mendakwa Maria Belen Concepion Martin berasal dari Melaka, Carlos Rogelio Fernandez (Pulau Pinang), Omar Eli Holgado Gardon (Georgetown, Pulau Pinang), Concepcion Agueda Alaniz (Pulau Pinang), Nair de Oliveira (Johor), Gregorio Irazabal y Lamiquiz (Kuching, Sarawak) and Hendrick Jan Hevel (Mallaca Straits Settlements).
FAM sebelum ini mengesahkan telah menerima keputusan penuh tatatertib FIFA terhadap badan induk itu dan tujuh pemain warisan, selepas wujud ketidakselarasan dalam dokumen pendaftaran.
FAM menegaskan pihaknya mengambil serius perkara tersebut dan akan menyerahkan semua dokumen serta bukti sokongan secara rasmi kepada FIFA dalam masa terdekat.