
PUTRAJAYA: Gempa bumi lemah berukuran magnitud 3.2 yang berlaku di Segamat, Johor semalam disahkan berpunca daripada pengaktifan semula sesar Mersing akibat tekanan tektonik serantau, menurut Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, JMG menjelaskan walaupun Malaysia terletak di atas Plat Sunda yang relatif stabil, kawasan ini tetap menerima tekanan daripada sistem tektonik serantau, khususnya Jalur Subduksi Sunda di barat Sumatera.
“Tekanan ini berpotensi mengaktifkan semula sesar-sesar lama di Semenanjung Malaysia yang mampu menghasilkan gempa bumi kecil hingga sederhana,” kata jabatan itu.
Hasil semakan awal peta seismotektonik menunjukkan pusat gempa terletak berhampiran lanjutan sesar Mersing yang berorientasi barat-barat laut hingga timur tenggara.
Analisis awal mendapati gempa bumi tersebut berlaku akibat pergerakan sesar mendatar sinistral, iaitu di mana blok kerak bumi di utara sesar bergerak ke arah barat, manakala blok di selatan sesar bergerak ke arah timur.
Gempa bumi cetek pada kedalaman kira-kira 10 kilometer itu juga disahkan berpunca daripada pergerakan kerak benua, dan bukan disebabkan aktiviti gunung berapi mahupun subduksi laut dalam.
Menurut JMG, sejarah gempa bumi di Semenanjung Malaysia pernah merekodkan kejadian serupa di beberapa kawasan seperti Bukit Tinggi (Pahang), Kenyir (Terengganu), Kuala Pilah (Negeri Sembilan) dan Manjung–Temenggor (Perak). Johor turut mencatat gegaran kecil pada 2021 dan 2023 akibat aktiviti seismik di luar pesisir Sumatera.
“Semua kejadian ini menunjukkan plat benua Semenanjung masih menyimpan tenaga tektonik yang boleh dilepaskan secara tiba-tiba dan menghasilkan gegaran,” kata JMG.
JMG menegaskan keperluan mendesak untuk memperkukuh pemantauan seismik, menjalankan pemetaan semula sesar aktif dan membangunkan sistem amaran awal bagi meningkatkan kesiapsiagaan masyarakat serta melindungi infrastruktur kritikal.
JMG bersama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan terus melaksanakan pemantauan serta analisis saintifik yang menyeluruh di kawasan berisiko dalam menghadapi sebarang ancaman gempa bumi, sama ada dari dalam negara mahupun akibat aktiviti seismik serantau.