
PUTRAJAYA : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua pihak supaya berhenti mempertikai penglibatan aktivis tempatan dalam misi kemanusiaan bagi membantu rakyat Palestin dan kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sempena Sidang Kemuncak ASEAN hujung bulan ini.
Beliau berkata, rakyat Malaysia sepatutnya turut mendoakan kejayaan usaha itu dan bukannya menimbulkan polemik politik tidak sihat ketika seluruh dunia termasuk Mesir, Qatar dan Hamas memberi tumpuan terhadap usaha mencari jalan damai.
“Tumpuan satu dunia termasuk Mesir, Qatar dan Hamas ialah cari jalan memastikan proses perdamaian ini berhasil… jadi, kita di Malaysia pun begitu, doakan.
“Jangan timbulkan umpamanya, bantah lawatan (Trump) kerana kita sekarang minta semua negara termasuk rayuan kita kepada Trump supaya memastikan perjanjian ini dimeterai dan dilaksanakan,” katanya kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Fathurrahman PPAM Melinjau di Presint 11 di sini pada Jumaat.
Tambah Anwar, tidak wajar ada pihak di dalam negara ini cuba menimbulkan perbalahan sedangan Hamas menunjukkan komitmen ke arah perdamaian.
“Kita tentunya mendoakan tetapi kita nak capai (matlamat perdamaian)… ini juga maklumat daripada Hamas… jadi, kalau Hamas pun nak perdamaian, yang kita dok ajak gaduh, sebab apa?
“Orang dibunuh, negeri dijajah, anak-anak kecil dan wanita terus dibunuh… jadi, kita nak hentikan itu dulu,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Anwar menzahirkan penghargaan kepada sukarelawan Malaysia yang menyertai misi bantuan ke Gaza menerusi flotilla kemanusiaan dan menyifatkan keberanian mereka sebagai pengorbanan besar.
“Tak semua orang sanggup gadai nyawa, bertarung untuk bantu rakyat Gaza… jadi, yang bantu, kita ucap terima kasih dan doakan (mereka)… inilah sikap yang sepatutnya ada dalam kalangan umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Sementera itu, berhubung sembilan rakyat Malaysia dalam misi kemanusiaan yang ditahan rejim Israel pada 8 Oktober lalu, Anwar berkata, urusan membawa pulang mereka sedang diuruskan dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
“Kita doakan… insya-Allah, mereka akan sampai ke Istanbul… dia (wakil Turkiye) janji telefon jam 3.30 petang ini… jadi, saya umum (perkembangan lanjut) dalam Belanjawan nanti,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan penerbangan yang membawa 95 individu dipercayai aktivis misi Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) termasuk sembilan rakyat Malaysia dijangka tiba di Turkiye hari ini.