
KOTA KINABALU: Prosiding siasatan kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, 13, telah ditetapkan bermula pada 3 September ini oleh Mahkamah Koroner di sini.
Koroner Azreena Aziz menetapkan prosiding itu berlangsung mulai 3 hingga 4 September, 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September serta 22 hingga 30 September.
Terdahulu, Pegawai Pengendali Mohd Fairus Johari yang juga Timbalan Pendakwa Raya (TPR) memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) semalam telah memohon agar siasatan kematian Zara.
Beliau berkata, seramai 195 saksi terlibat dalam kes berkenaan, namun senarai akhir saksi akan dimuktamadkan sebelum prosiding bermula.
Azreena turut meminta agar senarai saksi berkenaan dimuktamadkan sekurang-kurangnya dua hari sebelum prosiding dimulakan.
Turut bertindak sebagai Pegawai Pengendali ialah TPR Dana Arabi Wazani, Afiq Agoes dan Dacia Jane Romanus.
Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai, selepas dimasukkan sehari sebelumnya.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar itu ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolah berkenaan pada pukul 4 pagi, 16 Julai.