
KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menerusi Jabatan Muzium Malaysia (JMM) menjalin kerjasama strategik bersama Chagee Malaysia dalam usaha mempromosi Muzium Tekstil Negara sekali gus memperkasa seni tekstil tradisional.
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, melalui inisiatif itu, Chagee telah mengangkat keindahan dan keunikan seni tekstil tradisional negara dengan menampilkan motif serta seni telepuk.
“Kempen berkenaan akan mengetengahkan produk yang mendapat inspirasi daripada koleksi berharga JMM iaitu Kain Batik Lepas Bertelepuk dan Sarang Telepuk.
“Kedua-dua khazanah ini bukan sahaja bernilai dari sudut estetik, tetapi juga melambangkan jati diri dan identiti budaya bangsa,” katanya.
Beliau berucap demikian pada Majlis Pelancaran Kempen Chagee Malaysia x Jabatan Muzium Negara di Muzium Negara di sini hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Haslina Abdul Hamid; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Mohamad Sobri Mat Daud; Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim dan Ketua Pegawai Pemasaran Chagee Asia Pasific (APAC), Eugene Lee.
Aaron menjelaskan, seni telepuk merupakan salah satu cabang kesenian tekstil tradisional Melayu yang menggunakan teknik hiasan dengan menekan kepingan emas atau perak berbentuk corak ke atas permukaan kain.
Ujar beliau, kepentingannya amat besar kerana ia memperlihatkan kreativiti serta ketelitian tukang Melayu terdahulu dalam menghasilkan karya seni yang bernilai tinggi.
“Justeru, usaha mengekalkan dan mempromosikan seni telepuk ini adalah penting supaya warisan negara yang unik dan tidak ternilai harganya dapat terus diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau mencadangkan penubuhan Dana Wakaf Khazanah Warisan sebagai model pembiayaan baharu yang lebih lestari bagi menyokong pemuliharaan dan pengembangan seni serta warisan negara.
Katanya, dana itu akan berfungsi sebagai tabung amanah khas untuk membantu inisiatif pemuliharaan, pameran, penyelidikan dan pembangunan seni serta khazanah negara.
“Melalui Dana Khazanah Warisan, sektor korporat, badan berkepentingan, serta masyarakat umum boleh menyalurkan sumbangan dalam bentuk kewangan atau sokongan material,” katanya.