
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi menyatakan komitmen penuh menyokong titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim agar gejala buli dibendung seawal peringkat sekolah rendah, demi melindungi generasi muda daripada kesan buruk emosi dan sosial.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil, dalam kenyataan hari ini berkata, kementerian giat melaksanakan Kempen Kesedaran Nasional Antibuli secara menyeluruh menerusi televisyen, radio, media sosial dan platform digital.
“Patik menjunjung titah Seri Paduka Baginda berhubung keperluan membendung budaya buli sejak peringkat sekolah.
“Titah baginda memberi peringatan jelas bahawa budaya buli bukan sahaja merosakkan mental dan emosi mangsa, malah boleh melahirkan generasi yang hilang nilai hormat serta kasih sayang sesama insan,” katanya.
Fahmi menjelaskan, pelaksanaan kempen ini turut melibatkan tindakan susulan rentas kementerian bagi memastikan mesej antibuli sampai secara bersepadu kepada murid, pelajar, ibu bapa dan komuniti.
Katanya, kempen ini juga mengarusperdanakan nilai hormat, disiplin dan kasih sayang dalam komunikasi strategik kerajaan dan program kemasyarakatan.
Kata beliau, titah Seri Paduka selaras dengan usaha Kerajaan MADANI yang memperkenalkan Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025 bagi membanteras jenayah buli dengan lebih tegas dan menyeluruh.
Kementerian juga akan memastikan mesej kempen disampaikan dalam bahasa dan bentuk yang mudah difahami oleh kanak-kanak dan remaja, sejajar dengan hasrat Seri Paduka supaya nilai murni diterapkan sejak usia awal.
“Saya menyeru semua pihak termasuk ibu bapa, pihak sekolah, komuniti dan media untuk berganding bahu membanteras budaya buli. Hanya dengan kesepakatan menyeluruh, kita mampu melahirkan generasi yang berakhlak mulia, berdisiplin dan berjiwa penyayang,” kata Fahmi.
Terdahulu, Sultan Ibrahim menitahkan kerajaan melaksanakan kempen antibuli secara menyeluruh, menekankan bahawa budaya buli, jika tidak ditangani sejak awal, berisiko merosakkan masa depan generasi muda serta menjejaskan nilai kemanusiaan dalam masyarakat.