
KUALA LUMPUR – Kerajaan dicadangkan menubuhkan Majlis Maritim Negara sebagai platform utama untuk merancang serta melaksanakan strategi pembangunan maritim negara secara lebih tersusun, menyeluruh dan berimpak tinggi.
Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, landskap keselamatan dan pengurusan maritim kini semakin rumit, justeru memerlukan pendekatan tadbir urus baharu yang lebih bersepadu bagi memastikan perairan negara diurus secara berkesan.
Beliau menegaskan, langkah menubuhkan majlis khusus ini akan membantu kerajaan menyelaras pelbagai agensi berkaitan serta memastikan strategi maritim negara dilaksanakan secara lebih strategik dan sistematik.
Beliau menjelaskan pada masa ini, negara memerlukan satu pendekatan menyeluruh yang melibatkan semua lapisan pihak berkepentingan merangkumi agensi kerajaan, pemain industri serta masyarakat umum.
Pendekatan berkonsepkan “whole-of-government, whole-of-society” (WOGOS) itu, katanya, penting bagi memastikan setiap pihak memainkan peranan bersama dalam melaksanakan agenda maritim negara secara bersepadu dan berkesan.
“Menerusi WOGOS, negara dapat melaksanakan koordinasi lebih baik, penyelarasan polisi, perkongsian risikan serta penggunaan sumber yang cekap dan berkesan.
“Keselamatan ruang laut kita bukannya amanah eksklusif satu kementerian atau satu agensi sahaja.
“Justeru, pada pandangan kami di Kementerian Pertahanan, sudah tiba masanya kita menubuhkan Majlis Maritim Negara bagi mengemudi dan melaksanakan strategi WOGOS secara lebih terkoordinasi, sistematik, berimpak positif dan bersifat strategik,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada majlis Persidangan Meja Bulat dan Pelancaran Kertas Dasar: Masa Depan Keselamatan Maritim Malaysia, di sini hari ini.
Tambah Mohamed Khaled, WOGOS merupakan anjakan paradigma yang sangat diperlukan.
“Sekiranya setiap institusi bergerak bersendirian, ia tidak dapat merancakkan kerjasama, komunikasi dan koordinasi.
“Atau lebih teruk lagi, ia boleh menyebabkan pembaziran sumber yang terhad dan akhirnya merapuhkan benteng keselamatan negara. Maka, Kementerian Pertahanan tidak boleh bersendirian.
“Kita memerlukan Kementerian Luar Negeri untuk mengukuhkan tuntutan maritim; Kementerian Dalam Negeri untuk memastikan keselamatan perairan domestik.
“Kementerian Pengangkutan untuk melindungi laluan perkapalan dan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk melahirkan bakat maritim bertaraf dunia,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata negara juga mempunyai puluh badan pemikir dan pusat penyelidikan berkaitan Laut China Selatan termasuk mengemukakan ribuan bukti sejarah dalam pelbagai persidangan antarabangsa dan serantau.
Katanya, dalam mempertahankan kepentingan nasional, strategi Malaysia sentiasa berpandukan kepada pragmatisme.
“Kita tidak akan meningkatkan ketegangan semata-mata untuk menunjukkan kekuatan, dan kita juga tidak akan terjebak dalam permainan sifar hasil.
“Namun, biar saya tegaskan, pragmatisme kita tidak boleh sekali-kali disalah tafsir sebagai kelemahan atau sikap pasif,” katanya.