
DUNGUN: Kereta milik Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, terbakar di Kilometer 330 Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT2), berhampiran susur masuk Plaza Tol Paka.
Kejadian sekitar jam 12.15 tengah hari itu menyebabkan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang dipandu beliau musnah.
Insiden berlaku ketika beliau bersama isteri, Siti Zaliha Mohamad, sedang dalam perjalanan dari Kuantan untuk pulang ke Dungun.
Difahamkan sebaik bahagian bawah enjin berasap ketika beliau memberhentikan kenderaan.
Berikutan itu, Wan Hassan menghubungi Peronda PLUS untuk meminta bantuan tetapi enjin kenderaannya mula terbakar tidak lama kemudian.
Namun, beliau hanya sempat mengambil barangan penting dan menyelamatkan diri.
Seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kerteh dengan sebuah jentera bergegas ke lokasi dan kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya sekitar jam 1.25 tengah hari.