
MARAN : China Communications Construction (ECRL) Sdn. Bhd. (CCCECRL), mempertingkatkan kawalan keselamatan di semua tapak pembinaan selepas mengalami kerugian lebih RM3 juta akibat insiden kecurian kabel dan komponen penting lain.
Pengarah Keselamatan CCCECRL Seksyen 13, Shi Liang Hui, berkata situasi itu amat membimbangkan kerana mampu menjejaskan jadual pelaksanaan serta keselamatan operasi projek strategik nasional tersebut.
“Antara langkah keselamatan yang diambil termasuk pemasangan 66 unit kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan terlibat sejak September lalu.
“Selain itu, kita turut menggunakan khidmat syarikat keselamatan bagi mengawal lokasi berisiko serta bekerjasama dengan pihak polis yang menjalankan rondaan malam di tapak projek,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau lokasi projek berhampiran Kampung Luit di sini pada Selasa.
Difahamkan, sejak Jun lalu sebanyak 32 kes kecurian direkodkan di tiga negeri laluan projek berkenaan, dengan Pahang mencatat jumlah tertinggi sebanyak 24 kes, diikuti Terengganu (7 kes) dan Kelantan (1 kes).
Menurutnya, orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat segera kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang pergerakan atau aktiviti mencurigakan di sekitar tapak ECRL, bagi membantu menjaga keselamatan aset dan kelancaran projek.