
SINGAPURA: Seorang rakyat Malaysia, P Pannir Selvam bakal menjalani hukuman mati di Singapura pada pagi Rabu depan, susulan sabitan kesalahan menyeludup 51.84 gram diamorfin ke republik tersebut.
Maklumat mengenai tarikh pelaksanaan hukuman itu dimaklumkan kepada keluarganya menerusi satu notis rasmi daripada pihak berkuasa penjara Singapura, menurut adiknya, Angelia.
Notis bertarikh 4 Oktober yang ditandatangani oleh seorang pegawai kanan Perkhidmatan Penjara Singapura itu turut memaklumkan ahli keluarga dibenarkan melakukan lawatan harian lanjutan sehingga 7 Oktober ini di Pusat Hubungan Penjara Changi.
Peguam keluarga, N Surendran, mengesahkan penerimaan notis berkenaan dan menyatakan beliau akan memaklumkan sebarang tindakan lanjut sebaik sahaja keputusan berkenaan dibuat.
Pannir, 37, disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada 27 Jun 2017 bagi kesalahan mengedar dadah jenis diamorfin seberat 51.84 gram di pusat pemeriksaan Woodlands pada 3 September 2014.
Dia dijatuhi hukuman mati mandatori, manakala rayuan serta petisyen pengampunannya kepada Presiden Singapura turut ditolak.
Terbaharu, pada 6 September lalu, Mahkamah Rayuan Singapura juga menolak permohonan Pannir untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman tersebut sementara menunggu keputusan prosiding tatatertib terhadap bekas peguamnya yang difailkan melalui Persatuan Undang-Undang Singapura.
Sekiranya hukuman mati ini diteruskan, ia akan menjadi pelaksanaan kedua membabitkan rakyat Malaysia dalam tempoh dua minggu.
Pada 25 September lalu, seorang lagi warga Malaysia, K Datchinamurthy, 39, dihukum mati bagi kesalahan menyeludup 44.96 gram diamorfin ke republik itu.