
PUTRAJAYA: Ketua jabatan di sektor perkhidmatan awam kini diberi kuasa mempertimbangkan permohonan bekerja dari rumah (BDR) bagi pegawai yang tinggal dalam lingkungan 25 kilometer dari tempat kerja, susulan jangkaan kesesakan trafik berikutan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hujung bulan ini.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu kenyataan memaklumkan angkah ini merupakan inisiatif di bawah Kerajaan MADANI yang menekankan tadbir urus berdaya tahan dan prihatin, selari dengan nilai-nilai teras MADANI seperti kesejahteraan, ihsan dan kecekapan penyampaian perkhidmatan.
“Pegawai awam yang layak disaran untuk berhubung terus dengan ketua jabatan masing-masing bagi pertimbangan sewajarnya,” jelas kenyataan itu.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober di Kuala Lumpur, dijangka menjadi antara penganjuran terbesar dalam sejarah kerjasama serantau itu, dengan kehadiran pemimpin-pemimpin utama dunia serta ratusan delegasi antarabangsa.
Kehadiran mereka dijangka menyebabkan gangguan besar kepada aliran trafik di sekitar ibu negara dan kawasan sekitarnya.
Menurut JPA, dasar BDR akan terus dilaksanakan secara fleksibel dan tertakluk kepada garis panduan serta syarat yang telah ditetapkan melalui Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia Ceraian SR.4.1.2.
“Dasar ini bertujuan mewujudkan keseimbangan antara keperluan agensi dalam memastikan kelangsungan tugas serta kebajikan pegawai, termasuk keharmonian antara kerja dan kehidupan,” menurut kenyataan itu.