
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan agar kadar cukai ke atas cecair rokok elektronik atau vape dinaikkan daripada 40 sen kepada RM4 bagi setiap mililiter (ml) iaitu sebanyak 10 kali ganda.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, cadangan itu telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MOF) bagi menyelaraskan kadar cukai produk vape dengan produk tembakau konvensional.
“Bagi produk vape, satu ml cecair dikenakan cukai bersamaan 100 sedutan, manakala dua ml bersamaan 200 sedutan.
“Kadar cukai yang dicadangkan ialah daripada 40 sen kepada RM4 bagi setiap ml dan cadangan ini telah dikemukakan oleh KKM untuk pertimbangan MOF,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) yang ingin tahu sama ada KKM akan mencadangkan kenaikan cukai produk vape seperti produk tembakau, termasuk menerusi Belanjawan 2026, sebagai langkah segera sebelum pelaksanaan pengharaman penuh penggunaan vape.
Lukanisman berkata, cadangan pengharaman sepenuhnya terhadap rokok elektronik di Malaysia dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada tahun ini bagi mendapatkan persetujuan dasar untuk pelaksanaannya.
“Kita akan mengemukakan satu memorandum Jemaah Menteri kepada Kabinet untuk mempertimbangkan pengharaman secara sepenuhnya dan mendapatkan dasar bagi memulakan tindakan pengharaman terhadap vape,” katanya.