
KUALA LUMPUR: Lawatan rasmi Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump ke Malaysia hujung bulan ini merupakan antara agenda utama yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja pagi tadi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, kunjungan Trump yang dijadualkan berlangsung serentak dengan kehadiran beberapa pemimpin ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN sudah dimaklumkan kepada Raja-Raja Melayu sebagai sebahagian daripada persiapan negara menerima kehadiran pemimpin-pemimpin antarabangsa.
“Mesyuarat Majlis Raja-Raja pagi tadi berjalan seperti biasa, antaranya membincangkan perkembangan semasa termasuk lawatan Presiden Donald Trump ke Malaysia pada hujung bulan ini,” katanya kepada media selepas merasmikan Asean Conference on Future-Ready Public Service anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Lawatan ini merupakan yang pertama oleh Trump sejak kembali memegang jawatan Presiden, dan dijangka membawa impak besar terhadap hubungan dua hala Malaysia–AS, selain mempengaruhi pendirian Malaysia dalam pelbagai isu antarabangsa.
Anwar turut mengesahkan kehadiran beberapa pemimpin ASEAN lain ke Malaysia sepanjang bulan ini, selari dengan peranan negara sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
“Kita juga memaklumkan kepada Majlis Raja-Raja mengenai kehadiran pemimpin ASEAN lain dalam tempoh yang sama,” katanya.
Mesyuarat turut menyentuh pendirian Malaysia terhadap cadangan damai di Gaza yang dipelopori oleh pentadbiran Trump, berikutan konflik yang masih berlarutan di wilayah tersebut.
“Pendirian Malaysia mengenai cadangan damai Gaza juga turut disentuh,” jelas Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Kewangan.
Dalam masa sama, beberapa isu dasar lain turut dibincangkan, termasuk persiapan awal bagi Belanjawan 2026.
Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-264 yang berlangsung pagi tadi di Istana Negara dan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.