
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang menyamar sebagai doktor dan mendakwa kononnya terlibat dalam proses bedah siasat pelajar tingkatan satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Katanya, siasatan terhadap suspek dijalankan pihak polis, manakala Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berperanan sebagai agensi teknikal dalam kes berkenaan.
“Dia adalah doktor palsu dan akan dihadapkan ke mahkamah.
“Maklumat lanjut berkaitan pertuduhan terhadapnya perlu dirujuk kepada pihak polis kerana mereka yang menjalankan siasatan dan menahan suspek,” katanya kepada media selepas menghadiri Persidangan Grand Prix Kecerdasan Buatan (AI) 2025 di sini, hari ini.
Suspek, yang menggunakan akaun TikTok bernama “Dato Prof Dr Tunku Iskandar”, sebelum ini mencetuskan kekecohan apabila mendakwa dalam siaran langsung dia hadir semasa proses bedah siasat Zara Qairina yang berlangsung pada 10 Ogos lalu.
Namun hasil semakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati individu tersebut bukan pegawai perubatan berdaftar dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kementerian atau pasukan forensik yang mengendalikan kes tersebut.
Perkara itu disahkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berdasarkan laporan rasmi Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Nor Azimi Yunus, yang mendapat pengesahan daripada pakar forensik terlibat.
Suspek kini disiasat di bawah beberapa peruntukan undang-undang, termasuk:
Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 – kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 – berkaitan kenyataan yang boleh menimbulkan kegusaran awam.
Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan – kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam.
Jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 233, tertuduh boleh dikenakan denda sehingga RM500,000, penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali.