
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan pengasas FashionValet Sdn Bhd, Vivy Yusof dan suaminya, Fadzarudin Shah Anuar mendapatkan semula pasport antarabangsa mereka buat sementara waktu bagi menghadiri program Islamik di luar negara.
Hakim Rosli Ahmad membenarkan permohonan tersebut selepas mendengar hujahan daripada peguam pasangan berkenaan, Shaarvin Raaj, yang memohon supaya pasport diserahkan mulai hari ini sehingga 12 November 2025.
“Mahkamah membenarkan permohonan dan pasport diserahkan kepada kedua-dua pemohon hari ini. Ia perlu dikembalikan semula kepada mahkamah pada 13 November,” kata hakim.
Menurut Shaarvin, anak guamnya dijadual menghadiri program bertajuk “Islamic Historical Retreat to Istanbul-Bosnia with Sheikh Wael Ibrahim” yang akan berlangsung dari 4 hingga 11 November di Istanbul dan Bosnia.
“Kami mohon pasport diserahkan hari ini bagi urusan permohonan visa, dan akan dipulangkan kembali kepada mahkamah selepas program tamat,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Haresh Prakash Somiah, memaklumkan pihak pendakwaan tidak membantah permohonan tersebut.
Sebelum ini, pasangan itu turut dibenarkan mendapatkan semula pasport mereka bagi menunaikan umrah pada Disember 2024.
Pada 5 Disember 2024, Vivy Yusof atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 38, dan suaminya Fadzarudin, 37, mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan pecah amanah melibatkan dana pelaburan milik Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta.
Mereka didakwa bersama-sama, sebagai pengarah FashionValet melakukan pecah amanah dengan memindahkan wang tersebut dari akaun syarikat kepada 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan Lembaga Pengarah FashionValet.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 21 Ogos 2018 di Public Bank Cawangan Bukit Damansara, Kuala Lumpur.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun, sebat serta denda, jika sabit kesalahan.