
SEPANG: Kerajaan Malaysia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pro-Palestin bersiap sedia menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza dan Tebing Barat sekiranya gencatan senjata antara Hamas dan Israel dimeterai.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkembangan positif itu membuka ruang untuk penyaluran bantuan segera serta pelaksanaan misi pasca pemulihan di wilayah-wilayah yang terjejas akibat konflik.
“Sekiranya pintu sempadan Rafah di Mesir dan King Hussein di Jordan dibuka semula, penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza dan Tebing Barat boleh dilakukan dengan lebih cepat dan tersusun,” katanya dalam sidang media di Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) di sini, hari ini.
Katanya, Malaysia juga menyambut baik penerimaan bersyarat oleh Hamas terhadap 20 perkara yang terkandung dalam pelan damai yang dikemukakan oleh bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Beliau menyifatkan ia sebagai satu langkah awal ke arah perdamaian yang berpanjangan.
“Alhamdulillah, kita bersyukur kerana Hamas bersedia menerima pelan tersebut walaupun secara bersyarat.
“Ini menunjukkan tiada alasan lagi untuk terus menindas Gaza dan membunuh rakyat Palestin,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Al-Kahery turut menyambut baik saranan kerajaan agar NGO bersedia melaksanakan misi kemanusiaan secara menyeluruh dan terancang.
“Malaysia perlu menjadi antara negara terawal menyalurkan bantuan sebaik sahaja gencatan senjata dimeterai.
“Persediaan rapi perlu dibuat, bukan hanya untuk bantuan segera, tetapi juga bagi fasa pembangunan semula Gaza,” katanya.
Beliau turut menekankan pentingnya kerjasama erat antara NGO dan kerajaan bagi memastikan segala usaha bantuan berjalan lancar dan berkesan.
“Jika gencatan senjata kekal dapat dicapai, pembangunan semula Gaza tidak boleh ditangguhkan.
“Ini peluang penting yang mesti dimanfaatkan bersama, kerana lebih 65,000 rakyat telah terkorban atau menjadi mangsa keganasan,” katanya.