
WASHINGTON: Malaysia akan dikenakan tarif import sebanyak 25 peratus bermula 1 Ogos ini.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata langkah tersebut perlu diambil bagi melindungi industri tempatan negara itu daripada amalan perdagangan tidak adil oleh beberapa negara.
Katanya, AS tidak boleh lagi membiarkan negara lain mengambil kesempatan terhadap negaranya dan perlu mengenakan tarif sebanyak 25 peratus terhadap semua import dari Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima surat yang diutuskan presiden AS itu dikongsi dalam laman Truth Social, milik Trump Media & Technology Group.
Antara negara lain yang turut berdepan kenaikan tarif sama termasuk Jepun, Korea Selatan, Tunisia, Kazakhstan manakala kadar lebih tinggi akan dikenakan terhadap negara lain seperti Afrika Selatan dan Bosnia dan Herzegovina (30 peratus), Serbia dan Bangladesh (35 peratus), Kemboja dan Thailand (36 peratus) serta sehingga 40 peratus untuk Laos dan Myanmar.
Bagaimanapun, dalam surat kepada Anwar, Trump menyatakan kadar tarif 25 peratus itu masih jauh lebih rendah daripada yang diperlukan untuk menghapuskan ketidakseimbangan defisit perdagangan yang dialami oleh dengan Malaysia.
Namun begitu, surat tersebut turut menyebut tiada tarif akan dikenakan sekiranya Malaysia, atau syarikat dari Malaysia, memilih untuk membangunkan atau menghasilkan produk di AS.
“Malah, Washington akan melaksanakan segala yang mungkin untuk mendapatkan kelulusan dengan cepat, profesional dan secara rutin, dalam erti kata lain, dalam beberapa minggu sahaja,” menurut surat itu.
Trump berkata sekiranya Malaysia memutuskan untuk menaikkan tarif, AS juga akan mengenakan tarif tambahan mengikut angka yang dikenakan Malaysia, sebagai tambahan kepada 25 peratus itu.
Malaysia telah berunding dengan Washington mengenai tarif sejak April, dengan matlamat untuk mengurangkan tarif 24 peratus yang dikenakan sebelum ini, dengan rundingan terkini diadakan pada 18 Jun lalu.
Pengumuman itu dibuat menjelang lawatan pertama Setiausaha Negara AS Marco Rubio ke Kuala Lumpur bagi menghadiri persidangan pascamenteri ASEAN-AS dan mesyuarat lain di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang bermula hari ini.