
KUALA LUMPUR: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) yang mewakili Malaysia telah mempengerusikan Mesyuarat Persediaan di Peringkat Pegawai-Pegawai Kanan Tenaga ASEAN (SOME Preparatory Meeting) bagi Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 (AMEM) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Mesyuarat tersebut menghimpunkan pegawai kanan tenaga dari negara anggota ASEAN dan Timor-Leste bagi memuktamadkan cadangan hala tuju dan dasar untuk dipertimbang serta diluluskan semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN dijadualkan bermula pada 16 hingga 17 Oktober ini.
Dalam kenyataan PETRA, perbincangan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama serantau dalam mempertingkat keselamatan tenaga, kemampanan serta integrasi tenaga serantau di bawah Pelan Tindakan bagi Kerjasama Tenaga ASEAN 2026-2030 (APAEC).
“Antara hasil utama mesyuarat ini adalah memperakukan sasaran baharu di bawah APAEC 2026-2030 bagi ASEAN termasuk pengurangan intensiti tenaga sebanyak 40%, penetapan 30% tenaga boleh baharu (TBB) dalam Sumber Tenaga Primer (Total Primary Energy Supply – TPES) dan sasaran 45% kapasiti penjanaan TBB dalam kapasiti terpasang menjelang tahun 2030.
“Sasaran berkenaan merupakan kesinambungan kemajuan yang telah dicapai di bawah Pelan Tindakan bagi Kerjasama Tenaga ASEAN 2021-2025 (APAEC 2021-2025) yang akan tamat pada tahun ini.
“Penetapan sasaran baharu ini mencerminkan kesungguhan ASEAN untuk mencapai masa depan tenaga yang mampan dan berdaya tahan,” kata kenyataan itu.
Ujarnya lagi, mesyuarat turut meluluskan beberapa inisiatif penting termasuk Memorandum Persefahaman yang dipertingkat bagi Grid Kuasa ASEAN (APG Enhanced MoU), Pelan Hala Tuju Jangka Panjang Tenaga Boleh Baharu ASEAN (ASEAN Renewable Energy Long-Term Roadmap) serta Inisiatif Pembiayaan Grid Kuasa ASEAN (ASEAN Power Grid Financing Initiative – APGF).
Katanya, Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Bank Dunia (WB) menerajui pembiayaan pelaburan bernilai tinggi itu terutama untuk projek sambungan kuasa rentas sempadan di rantau ASEAN.
“Inisiatif-inisiatif ini akan dibentangkan untuk pengesahan rasmi semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 pada 16 Oktober 2025.
“Sebagai Pengerusi Rangkaian Sektor Tenaga Boleh Baharu ASEAN (Renewable Energy Sub-Sector Network – RE-SSN), Malaysia telah membentangkan pembangunan kapasiti terpasang TBB bagi ASEAN telah mencapai 34.4% pada tahun 2023 hampir mencapai sasaran serantau untuk tahun 2025 iaitu 35%.
“ASEAN telah menyiapkan Pelan Hala Tuju Jangka Panjang Tenaga Boleh Baharu ASEAN serta memulakan pembangunan Rangka Kerja Sijil Tenaga Boleh Baharu Serantau (REC Framework) yang akan membolehkan perdagangan tenaga hijau dilaksanakan secara telus dan berasaskan pasaran di peringkat ASEAN,” katanya.
Dalam masa sama, kenyatan itu menambah, penubuhan ASEAN School of Regulation di Malaysia akan menjadi pusat kecemerlangan serantau bagi pembangunan kapasiti dan perkongsian pengetahuan dalam bidang peraturan tenaga serta integrasi tenaga boleh baharu.
Katanya, ia merupakan pencapaian Malaysia sebagai Pengerusi Rangkaian Regulatori Tenaga ASEAN (ASEAN Energy Regulatory Network – AERN).
“Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Tenaga bersetuju untuk membentangkan syor-syor utama kepada AMEM ke-43 termasuk memperaku APAEC 2026–2030, Keberhasilan Ekonomi Utama 2025 (Priority Economic Deliverables – PED) serta pengukuhan kerjasama dengan rakan dialog antarabangsa seperti Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), International Renewable Energy Agency (IRENA), ADB dan WB.
“Malaysia mengulangi komitmen untuk memacu peralihan tenaga yang inklusif, adil dan bersepadu, dengan menekankan peranan pendigitalan, inovasi serta pembiayaan mampan sebagai pemangkin utama kepada transformasi tenaga hijau ASEAN selaras aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.