
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan terus mengadakan libat urus dengan wakil perdagangan Amerika Syarikat (AS) sehingga 1 Ogos depan bagi meneruskan rundingan membabitkan perkara yang masih tertunggak.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, rundingan yang dibuat adalah mengenai produk perindustrian merangkumi sektor seperti jentera dan peralatan, produk kimia dan berasaskan kimia, peranti perubatan, besi dan keluli, aluminium, plastik, automotif, dan sektor elektrik & elektronik (E&E).
“Bagi produk pertanian, rundingan tertumpu pada buah-buahan, bijirin dan beras, ayam daging hidup dan telur, daging, susu dan produk tenusu serta alkohol.
“Terdapat juga dakwaan mengenai halangan bukan tarif yang dirundingkan termasuk isu pensijilan halal,” katanya pada sidang media mengenai tarif timbal balas AS di sini, hari ini.
Tengku Zafrul berkata, strategi perundingan Malaysia mengenai produk pertanian adalah keseimbangan pragmatik antara kesihatan awam dan prinsip timbal balik.
Jelas beliau, kedua-dua pihak bersetuju untuk menambah baik pelbagai langkah termasuk penerimaan pensijilan kawal selia AS bagi produk makanan tertentu.
“Mengenai isu persekitaran dan buruh, Malaysia bersetuju untuk mempertingkatkan perlindungan alam sekitar selaras dengan komitmen global serta piawaian buruh antarabangsa.
“Dalam perdagangan digital, Malaysia komited untuk memudahkan pendigitalan dalam perdagangan dan menggalakkan aliran data rentas sempadan yang selamat bagi merangsang pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul menjelaskan, keputusan menaikkan tarif yang dikenakan kepada Malaysia sebanyak 25 peratus dibuat oleh Presiden Donald Trump, bukannya menerusi proses rundingan.
Katanya, pihaknya sudah bertanyakan perkara itu kepada Wakil Perdagangan AS, namun mereka tidak memberikan jawapan.