
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) ke-43 amat signifikan apabila ASEAN berdepan cabaran tenaga global dan keperluan mendesak mempercepat peralihan kepada sumber tenaga lebih bersih serta mampan.
Melalui AMEM ke-43, Menteri-Menteri Tenaga ASEAN akan membincangkan hala tuju serantau dalam memperkukuh keselamatan tenaga, memperluas penggunaan tenaga boleh baharu dan mempercepatkan integrasi pasaran tenaga melalui inisiatif seperti Grid Tenaga ASEAN (APG).
Keputusan dan komitmen yang dibuat kelak penting bagi memastikan rakyat ASEAN mendapat akses kepada tenaga stabil, mampu milik dan mesra alam.
Selain itu, AMEM ke-43 akan membuka peluang ekonomi baharu dalam sektor hijau, mewujudkan pekerjaan berkualiti dan meningkatkan kualiti hidup keseluruhan di seluruh rantau ini.
Sebagai Pengerusi AMEM ke-43, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan mengetengahkan usaha kerajaan Malaysia dalam mempercepatkan agenda peralihan tenaga negara dan serantau.
Sejajar agenda Malaysia MADANI, PETRA berharap agar pelaburan dalam sektor tenaga bersih di ASEAN dan Malaysia dapat dipertingkatkan, selaras dengan aspirasi negara untuk membina ekosistem hijau yang berdaya saing di peringkat global.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof yang merupakan Menteri PETRA akan mempengerusikan AMEM ke-43 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan pada 16 hingga 17 Oktober 2025 di sini.
Mesyuarat kali ini akan membincangkan pelbagai agenda strategik termasuk Pelan Tindakan Tenaga ASEAN (APAEC) 2026–2030, yang akan menjadi pelan hala tuju tenaga serantau bagi tempoh lima tahun akan datang.
Selain itu, Memorandum Persefahaman (MoU) serantau berkaitan APG dan Perjanjian Keselamatan Petroleum ASEAN (APSA) untuk memperkukuh kesalinghubungan tenaga, mempercepat peralihan tenaga rendah karbon serta meningkatkan keselamatan bekalan tenaga serantau.
Mesyuarat juga akan membincangkan cadangan pelaksanaan Pembiayaan Grid Tenaga ASEAN (APGF) yang merupakan inisiatif pembiayaan bersepadu dengan kerjasama Bank Pembangunan Asia (ADB).
Bank Dunia juga bakal menyediakan kemudahan kewangan lebih US$12.5 bilion bagi membiayai kos projek sambungan grid merentas sempadan.
Selain Mesyuarat AMEM ke-43, beberapa mesyuarat lain akan diadakan sepanjang dua hari persidangan tersebut termasuk AMEM+3 bersama negara China, Jepun dan Korea Selatan; East Asia Summit Energy Ministers’ Meeting (EAS EMM) ke-19; Dialog AMEM–Amerika Syarikat dan sesi bersama Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) serta International Renewable Energy Agency (IRENA).
Dalam pada itu, Forum Perniagaan Tenaga ASEAN ke-25 (AEBF-25) akan berlangsung serentak dengan AMEM ke-43 yang bakal menjadi platform penting bagi sektor swasta membincangkan peranan mereka dalam mempercepat peralihan tenaga ASEAN.
Sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan dalam inovasi dan kemampanan tenaga, majlis Anugerah Tenaga ASEAN 2025 akan turut diadakan pada 16 Oktober 2025.
Ia melibatkan tiga kategori utama iaitu ASEAN Coal Awards, ASEAN Energy Efficiency and Conservation Best Practices Awards dan ASEAN Renewable Energy Awards dipertandingkan bagi mengiktiraf pencapaian luar biasa dalam bidang tenaga di rantau ini.