
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang meneliti cadangan penggunaan teknologi sistem pemantauan digital mengesan tahap keletihan dan kesihatan pemandu, khususnya melibatkan isu gangguan tidur atau ‘sleep apnea’.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, kementerian mengadakan libat urus bersama pihak berkepentingan dalam industri pengangkutan darat termasuk pengusaha industri, inovator dan syarikat logistik terutama pengangkutan berat dan ringan bagi tujuan itu.
“Kita memang peka tentang (sleep apnea) ini. Dulu juga ia (sistem pemantauan digital kesihatan pemandu) pernah dibangkitkan tentang kosnya sebab memang kena belanja beratus ringgit untuk setiap sekali pemeriksaan dan sebagainya.
“Namun, dengan MoA (memorandum perjanjian) yang baharu ini nanti kita akan melihat perkara ini secara menyeluruh,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Datuk Koh Nai Kwong sekiranya kerajaan mempertimbangkan penggunaan teknologi wearable devices atau sistem pemantauan digital bagi mengesan tahap keletihan dan kesihatan pemandu Kenderaan Perkhidmatan Awam.
Sementara itu Hasbi berkata, kementerian turut memberi perhatian terhadap cadangan penggunaan teknologi canggih seperti sistem pengecaman identiti pemandu melalui stereng kenderaan yang mampu mengesan tahap kesihatan seperti kadar degupan jantung.
Katanya menerusi inovasi tersebut, ia mampu mengelakkan pemandu yang tidak sihat daripada memulakan perjalanan.
“Kita ambil perhatian perkara ini (termasuk) dengan MoA yang dibuat dengan industri tentang sleep apnea. Kementerian akan merumus apakah hasil daripadanya (MoA) dan apakah langkah seterusnya,” katanya.