
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Siber Kuala Lumpur hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang individu yang berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).
Waran tangkap itu dikeluarkan terhadap tertuduh, Azmi Aziz yang dikenal pasti sebagai Ketua Cawangan Pas di sebuah kawasan di Melaka selepas gagal hadir ke prosiding mahkamah tanpa sebarang alasan.
Azmi sebelum itu didakwa memuat naik kandungan berbentuk kartun yang diubah suai dan berunsur penghinaan serta gangguan terhadap pihak lain.
Menurut pihak pendakwaan, kandungan yang dimuat naik turut mengandungi elemen politik yang ketara dan dipercayai bertujuan menyentuh sensitiviti pihak tertentu.

Imej berkenaan tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Saman sudah diserahkan kepada tertuduh pada 30 September 2025, namun dia gagal hadir pada tarikh yang ditetapkan untuk prosiding pagi ini.
Sehubungan itu, mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap Azmi dan menetapkan 6 November 2025 sebagai tarikh sebutan semula kes untuk tindakan lanjut.
Seksyen 233(1)(a) AKM 1998 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.