
KUALA LUMPUR: Persidangan Modal Insan & Pameran (NHCCE) 2025 melabuhkan tirainya semalam, mengukuhkan peranannya sebagai platform transformasi strategik yang mencerminkan komitmen Malaysia menerajui agenda modal insan dan pembangunan kemahiran.
Berlangsung selama tiga hari di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), acara ini menghimpunkan lebih 3,000 delegasi, 300 pempamer, dan 33 pemikir global yang berkongsi wawasan dan solusi ke arah membentuk tenaga kerja masa depan yang berdaya tahan, berkemahiran dan inklusif.
Ketua Eksekutif HRD Corp, Dr. Syed Alwi Mohamed Sultan berkata, NHCCE bukan sekadar persidangan, tetapi adalah manifestasi komitmen Malaysia untuk membina masa depan modal insan yang progresif, digital dan inklusif di rantau ini.
“HRD Corp kini berevolusi daripada agensi kutipan levi kepada pemangkin dasar dan transformasi dalam ekosistem tenaga kerja nasional, memfokuskan kepada peningkatan kemahiran, pendigitalan dan pengarusutamaan bakat masa hadapan.
“Setiap penceramah tampil dengan satu mesej jelas iaitu masa depan bukan lagi di hadapan, ia sedang berlaku sekarang. Bagi kekal relevan, kita mesti berubah, menyesuaikan diri dan belajar semula,” katanya.
Dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) dengan sokongan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), NHCCE 2025 berlangsung bersempena Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia dan Tahun Kemahiran ASEAN (AYOS) 2025.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong bersama kepimpinan tertinggi KESUMA dan HRD Corp.

Segmen BizMatch mencatat kejayaan tersendiri dengan 879 pendaftaran, melibatkan 86 penyedia latihan dan 394 majikan, dengan nilai keseluruhan mencecah RM3.176 juta. Ini mencerminkan impak ekonomi nyata dalam memadankan keperluan industri dengan penyelesaian latihan yang tepat.
NHCCE 2025 menampilkan gabungan tokoh pemikir antarabangsa dan nasional.
Sesi perbincangan mendalam menumpukan kepada kesan Kecerdasan Buatan (AI) terhadap tenaga kerja, pembangunan kepimpinan adaptif, serta amalan lestari dan berteraskan manusia dalam organisasi moden.
Dengan kejayaan NHCCE 2025, Malaysia sekali lagi menunjukkan ia bukan hanya peserta, tetapi pemimpin dalam membentuk masa depan tenaga kerja rantau ini, selaras dengan visinya sebagai hab serantau kecemerlangan modal insan.