
KUALA LUMPUR : Ekonomi Malaysia yang kekal kukuh terus menjadi pemangkin kepada kestabilan dan ketahanan pasaran buruh pada Ogos 2025.
Menurut Statistik Tenaga Buruh Malaysia Ogos 2025, jumlah penganggur menurun kepada 520,000 orang, menjadikan kadar pengangguran hanya tiga peratus.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, menjelaskan perkembangan positif ini didorong peningkatan berterusan dalam jumlah penduduk bekerja serta penurunan konsisten dalam bilangan penganggur.
“Tenaga buruh semakin mengukuh pada bulan terbabit, meningkat sebanyak 0.2 peratus bulan ke bulan kepada 17.51 juta orang (Julai 2025: 17.47 juta orang), oleh itu, kadar penyertaan tenaga buruh naik 0.1 peratus kepada 70.9 peratus (Julai 2025: 70.8 peratus), menunjukkan penyertaan buruh yang lebih tinggi dalam pasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Uzir, pada Ogos 2025, bilangan penduduk bekerja terus menunjukkan peningkatan, naik 0.2 peratus kepada 16.99 juta orang berbanding 16.95 juta orang pada Julai sementara jumlah penganggur menurun 0.3 peratus kepada 520,000 orang, selepas mencatat 521,600 orang pada Julai dan kadar pengangguran pula kekal stabil pada 3 peratus, sama seperti bulan sebelumnya.
Beliau berkata, daripada jumlah penduduk bekerja pada Ogos 2025, 74.9 peratus adalah tergolong dalam kategori pekerja, yang menunjukkan peningkatan 0.2 peratus kepada 12.73 juta orang pada bulan tersebut (Julai 2025: 12.71 juta orang) manakala bilangan penduduk bekerja sendiri naik sebanyak 0.5 peratus mencatatkan 3.22 juta orang berbanding 3.21 juta orang pada Julai.
Sementara dari segi sektor ekonomi, beliau memberitahu sektor Perkhidmatan kekal menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan guna tenaga pada Ogos 2025, dengan peningkatan ketara dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit, maklumat dan komunikasi, serta penginapan dan perkhidmatan makanan dan minuman.
Pada masa sama, sektor Pembuatan, Pembinaan, Perlombongan dan Pengkuarian serta Pertanian turut mencatatkan pertumbuhan positif dalam bilangan penduduk bekerja, menandakan perkembangan menyeluruh dalam pasaran buruh negara.
“Pasaran buruh Malaysia dijangka terus berdaya tahan pada bulan-bulan yang akan datang, dengan kadar pengangguran berpotensi kekal rendah, didorong oleh pertumbuhan ekonomi yang stabil, peningkatan permintaan tenaga kerja, serta pemulihan sektor utama seperti Perkhidmatan dan Pembuatan.
“Secara keseluruhan, pasaran buruh negara berada pada landasan yang kukuh dan diramal mencatatkan pencapaian terbaik dalam tempoh lebih sedekad, sekiranya momentum semasa dapat dikekalkan dan terus menunjukkan prestasi memberangsangkan,” katanya.